Setelah 10 tahun hilang, lelaki warga emas akhirnya ditemukan meninggal dunia di dalam peti sejuk yang terletak di sebuah bangunan terbengkalai.
Memetik laporan Mirror, lelaki berusia 67 tahun ketika terakhir kali ditemui itu telah hilang sejak 1 Februari 2012.
Menurut Ketua Detektif dari bahagian Pakar Jenayah Polis Metropolitan, Inspektor Kelly Allen, pihaknya sedang mengumpul maklumat dari mereka yang pernah mengenali mangsa.
“Kami percaya bahawa tubuh mangsa berkemungkinan berada di dalam peti sejuk itu selama beberapa tahun.
“Bercakap dengan mereka yang mengenali mangsa bukan sahaja bakal membantu kami mengenalpasti gaya hidup dan tabiat mangsa, tetapi juga masa terakhir kali mangsa dilihat,” kata Allen.
Tambah Allen, lelaki tersebut yang berasal dari Newham, Timur London, dikenal pasti lahir pada 8 September 1944 dan dipercayai berusia 70-an ketika dia meninggal dunia.
Pihak berkuasa setempat telah mengeluarkan gambar dan memberitahu bedah siasat tidak dapat disimpulkan tetapi dia dikenal pasti daripada rekod pergigian.
Sementara itu, jurucakap polis berkata, lelaki itu ditemui meninggal dunia di dalam peti sejuk kira-kira jam 3 petang pada Jumaat, 15 Oktober tahun lalu.
Mayat lelaki berkenaan dijumpai oleh para pekerja pembinaan yang sedang mengubahsuai premis berkenaan.
“Peti sejuk tersebut berkenaan terletak di ruang bawah tanah sebuah bangunan yang sebelumnya dikenali sebagai Simpson’s Wine Bar di Jalan Romford, Forest Gate.
“Hasil bedah siasat tidak dapat mengesan punca kematian mangsa dan mayat itu dicam melalui rekod pergigiannya,” jelas jurucakap.
Setakat ini, maklumat lanjut tentang lelaki malang tersebut masih belum dapat dikenalpasti.
Mayat bayi ditemukan dalam peti sejuk
Di Bangkok Thailand, kejadian hampir sama turut terjadi melibatkan seorang bayi yang ditinggalkan lebih setahun di dalam peti sejuk.
Menurut Komander Polis Chiang Mai, Thawatchai Pongwiwatchai, mayat bayi yang dibalut dengan tuala itu ditemui oleh pekerja pengubah suai rumah.
Jelas Pongwiwatchai, rumah itu dimiliki oleh keluarga tiri kepada bapa bayi tersebut. Lelaki berkenaan pernah tinggal di rumah berkenaan bersama teman wanitanya yang hamil.
Bayi malang itu dipercayai meninggal dunia ketika dilahirkan. Kerana tidak dapat menerima pemergian anak pertama, lelaki itu dikatakan tidak mahu mengebumikan anaknya dan memutuskan membekukan mayat tersebut.
Sumber: Mirror