Susulan bencana banjir yang melanda Lembah Klang termasuk Kuala Lumpur beberapa bulan yang lalu, kerajaan akan memasang lima siren amaran banjir tidak lama lagi.
Inisiatif yang dilakukan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu merupakan usaha untuk memberi amaran awal kepada warga kota mengenai kemungkinan berlakunya banjir kilat.
Difahamkan, siren-siren itu akan dipasang di Lorong Kiri Keramat 15, Terowong Chan Sow Lin, Taman U-Thant, Jalan Sembilan di Kg Cheras Baru dan Sungai Kayu Ara.
Pemasangan siren itu perlu dilakukan walaupun terdapat mekanisma seperti Terowong Smart yang membantu mengurangkan atau mencegah banjir kilat.
Ia dikatakan tidak boleh menampung semua kawasan di Kuala Lumpur.
Bagi yang belum tahu, siren amaran banjir juga menggunakan teknologi Radio Frequency Identification (RFID).
Ia merupakan teknologi tanpa-kontak yang menggunakan medan elektromagnet frekuensi radio untuk memindahkan data dari tag pada sesuatu objek.
BACA JUGA: (Video) Siren Dibunyikan, Viral Dipercayai Air Sungai Tembeling Melimpah & Arus Deras
Teknologi itu diperkenalkan bagi mengatasi beberapa masalah pada siren yang dipasang sebelum ini.
Menurut Bahagian Pengurusan Sumber Air dan Hidrologi, Jabatan Pengairan Saliran Malaysia, lokasi penempatan siren iaitu berhampiran tebing sungai tidaklah begitu strategik kerana mudah ditenggelami air.
Penduduk juga tidak akan mendengar bunyi siren kerana berada berjauhan daripada kawasan yang berisiko dinaiki air itu.
Penduduk yang berada berdekatan dengan siren itu pula mengatakan bunyinya terlalu kuat.
Justeru, penggunaan teknologi RFID diperlukan untuk menambah baik sistem siren amaran itu.
Cara-cara RFID berfungsi dengan sistem siren
Untuk pengetahuan, cara RFID berfungsi adalah apabila stesen Master menghantar isyarat Amaran atau Bahaya kepada stesen Slave 1, Slave 2 dan Slave 3 melalui komunikasi radio.
Tidak cuma itu, data juga akan dihantar ke PC Master tetapi menggunakan Global System for Mobile Communications (GSM).
Seterusnya, stesen Master juga akan menghantar pemberitahuan secara SMS ke 100 pengguna yang telah disenaraikan bagi langkah peringatan berjaga-jaga dan amaran berpindah ke tempat selamat.
Sistem siren menggunakan RFID ini adalah hasil daripada penambahbaikan sistem siren yang sedia ada.
Ia dikemaskan lagi dengan beberapa komponen-komponen seperti MyTeleLogger SP-20, light relay board, radio converter dan radio modem.
Dalam pada itu, ia juga dapat menjimatkan kos penyelenggaraan terutama bagi bateri kerana ia lebih tahan lama.
Sistem siren itu pernah diuji dan diperkenalkan di Stesen Siren Gemas, Negeri Sembilan pada Ogos 2012.