Siakap Keli
kanak-kanak 3 tahun ketagih rokok
Kredit: detik.com

Kanak-Kanak Usia Tiga Tahun Didakwa Ketagih Hisap Rokok, Mengamuk Jika Tak Dapat

Gunungkidul – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dari Kapanewon Ponjong, Kabupaten Gunungkidul didakwa ketagih menghisap rokok dan mengamuk sekiranya tidak diberikan oleh ibu bapanya.

Menurut Detik, ibu kanak-kanak itu yang berusia 35 tahun berkata bahawa anaknya mula ketagih menghisap rokok berikutan tabiat mengutip puntung rokok di sekitar rumahnya sejak beberapa bulan yang lalu.

”Awalnya, tiga bulan lalu, anak saya ambil puntung rokok dan menyalakannya dengan mancis. Selepas bapanya selesai menghisap rokok, dia pungut puntung dan lama-lama dia menghisap rokok itu.

”Dia meneruskan tabiat itu sehingga setiap kali nak maghrib, dia pasti akan minta rokok,” kata ibunya.

Tabiat anaknya yang suka menghisap rokok itu telah membuatkan ibunya sentiasa menyembunyikan mancis di rumah.

Ayahnya juga tidak menghisap rokok buat masa ini kerana kanak-kanak itu akan meminta rokok setiap kali ayahnya pulang dari kerja.

Ketika sedang ditemubual oleh portal Detik, kelihatan kanak-kanak itu menghampiri ayahnya yang pulang dari kerja untuk meminta sebatang rokok.

“Ayah, ayah, rokok, rokok,” kata kanak-kanak itu sambil menarik seluar ayahnya yang sedang melangkah masuk ke dalam rumah.

Tambah si ibu, anaknya itu bukan sahaja meminta rokok daripada ayahnya, namun dia juga meminta daripada orang ramai yang lalu lalang di hadapan rumah.

Ini menyebabkan ibunya berasa malu dan terpaksa membeli rokok untuk anaknya itu.

“Dia panggil nama orang yang lalu lalang itu dan terus meminta rokok. Saya jadi malu dengan orang seperti sedang mengemis pula.

”Jadi, saya terpaksa membeli rokok di kedai dengan harga Rp 2 ribu (RM 0.59) sebatang,” katanya.

Jelas ibunya, dia terpaksa memenuhi permintaan tersebut kerana mendakwa anaknya akan menjadi lemah sekiranya tidak dapat merokok dan hanya boleh bergerak aktif jika hasratnya dipenuhi.

“Masuk sahaja waktu Maghrib, dia pasti akan minta rokok. Jika tak bagi, dia akan jadi lemah. Dia hanya akan ketawa dan bertenaga sekiranya saya berikan rokok.

”Kalau rokok jenama kretek, dia tak nak dan akan buang. Saya pernah letakkan cili di hujung rokok dan kemudian dibuang kerana tak sedap,” katanya.

Selain itu, ibu kanak-kanak lelaki itu juga memberitahu bahawa dia tidak pasti berapa batang rokok yang dihabiskan oleh anaknya dalam masa sehari.

Tetapi apa yang pasti, sekiranya tidak diberi rokok, anaknya pasti akan mengamuk.

“Paling kurang anak saya meminta satu batang rokok sehari kerana dia akan mengamuk jika tidak diberi.

”Kalau dia mengamuk, dia akan tendang pintu sehingga pecah. Kalau tak, dia akan menarik rambut saya dan membaling barang dan melempar batu,” katanya.

Ibunya telah melakukan beberapa cara untuk membantu anaknya berhenti menghisap rokok, namun gagal.

”Saya dah cuba tapi anak saya tetap macam tu, takut ia akan menjejaskan paru-paru anak saya,” katanya.

Ibu tersebut mengaku bahawa dia masih tidak membawa anaknya ke hospital kerana mempunyai masalah kewangan. Suaminya pula hanya bekerja sebagai seorang buruh.

Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Sosial Pemerkasaan Wanita dan Perlindungan Kanak-Kanak Gunungkidul, Asti Wijayanti, mengesahkan bahawa pihaknya akan menghulurkan bantuan kepada kanak-kanak lelaki itu.

Menurutnya, ketika ini sektor perlindungan kanak-kanak bersama Pusat Kesihatan Ponjong sedang melakukan penilaian dengan mengunjungi rumah kanak-kanak itu.

“Apa sahaja keputusannya nanti, akan kami beritahu. Apa yang jelas, kita sedia menghulurkan bantuan kepada mereka yang berkenaan,” katanya.

Sumber: detikcom

Akhmar Ikmal