Siakap Keli
kisah abu hurairah
Gambar hiasan via Islam Kaffah/Google

Kisah Abu Hurairah, Sahabat Nabi Yang Suka Kucing

Kisah Abu Hurairah, salah seorang sahabat Nabi Muhammad SAW mungkin sudah diketahui ramai. Jasa dan baktinya yang meriwayatkan ribuan hadis Baginda SAW tidak perlu diragui lagi.

Bagaimanapun di sebalik perkataan ‘Abu Hurairah’ ini, mungkin masih ada yang belum mengetahui bahawa istilah tersebut sebenarnya dikaitkan dengan haiwan kesayangan Baginda SAW iaitu kucing.

Apakah sejarah sebenar di sebalik nama Abu Hurairah ini? Adakah benar beliau merupakan seorang pencinta kucing seperti yang banyak diceritakan dalam kisah-kisah sirah Rasulullah SAW?

Bagaimanakah juga perjalanan beliau dalam berperanan sebagai perawi hadis Baginda SAW? Untuk mengetahui kisah Abu Hurairah ini, mari ikuti perkongsian yang dibawakan di bawah. Semoga bermanfaat.

Kisah Abu Hurairah, Sahabat Nabi Yang Suka Kucing

Kredit: Islam Kaffah via Google

Nama sebenar Abu Hurairah ialah Abdi Syams. Nama Abdi Syams merupakan nama asalnya yang membawa maksud ‘hamba matahari’ sebelum beliau memeluk Islam.

Setelah memeluk agama Islam, Abu Hurairah bertemu dengan Nabi Muhammad SAW, lalu Baginda pun bertanya, “Siapakah nama kamu?”. Lalu beliau menjawab namanya adalah Abdi Syams.

Tetapi Rasulullah berkata, “Bukan, nama kamu adalah Abdul Rahman”. Dikatakan juga Rasulullah SAW memberikannya gelaran ‘Abu Hurairah’ yang bermaksud ‘bapa kepada anak kucing betina’.

Dikatakan ketika Abu Hurairah pergi menemui Baginda, kucing sering keluar dari poket atau lengan bajunya.

Abu Hurairah juga antara sahabat nabi yang paling akrab. Beliau mempunyai gelaran lain yang diberikan oleh Rasulullah SAW iaitu ‘Aba Hirr’ yang membawa maksud ‘bapa kepada anak kucing jantan’. Hanya Rasulullah SAW sahaja yang memberi gelaran Aba Hirr kepadanya.

Diceritakan, Abu Hurairah memeluk Islam melalui seorang sahabat bernama Tufail bin Amr yang pulang dari Makkah dan berdakwah kepada Bani Daus. Abu Hurairah antara yang terawal memeluk Islam dalam kaum Bani Daus.

Ibunya ajak kembali ke agama asal

Selain itu, beliau mempunyai seorang ibu yang agak uzur yang sering menasihatinya agar kembali semula ke agama asal nenek moyang mereka. Abu Hurairah tetap mengajak ibunya untuk memeluk Islam walaupun wanita itu tidak suka agama ‘barunya’. Hal ini menyebabkan beliau berasa sedih.

Perkara ini diketahui oleh Rasulullah yang bertemu dengannya dan Abu Hurairah menceritakan perkara yang terjadi. Beliau juga berkata “Aku tidak pernah bosan mengajak ibuku untuk masuk Islam, namun yang membuatkan aku kesal disebabkan ibuku sering berkata buruk terhadapmu Rasulullah,”. Beliau berharap ibunya diberikan hidayah untuk memeluk agama Islam.

Ketika itu, Rasulullah SAW mendoakan agar ibu Abu Hurairah memeluk agama Islam. Maka Abu Hurairah segera pulang ke rumah. Setelah tibanya di rumah, beliau mendengar seseorang sedang mandi di dalam iaitu ibunya sendiri.

Ibunya menyuruhnya untuk tunggu di luar rumah. Setelah selesai mandi, ibunya mengucapkan kalimah suci syahadah di depan Abu Hurairah. Akhirnya, beliau sangat gembira dengan ibunya yang sudah memeluk agama Islam hasil ‘berkat’ doa Rasulullah SAW.

BACA JUGA: Kisah Bilal Bin Rabah, Tidak Gentar Diseksa Demi Menjaga Agama

Seorang yang sangat cintakan ilmu

Diceritakan juga, Abu Hurairah seorang yang sangat mencintai ilmu. Pada suatu hari, Abu Hurairah keluar ke pasar dan melihat ramai berada di sana. Ketika itu, beliau berkata kepada orang di pasar itu, “Alangkah ruginya kamu,”

Maka mereka yang berada di pasar itu pun kehairanan, lalu Abu Hurairah berkata lagi “Alangkah ruginya kamu semua, harta Rasulullah SAW sedang dibahagikan,”

Mereka bertanya kepadanya, “Apakah harta yang sedang dibahagikan oleh Rasulullah SAW?”. Maka Abu Hurairah berkata, “Harta yang sedang dibahagikan itu berada di masjid,”.  Lalu orang yang berada di pasar itu berpusu-pusu ke masjid namun kembali semula ke pasar bertemu Abu Hurairah dengan penuh hampa.

Mereka bertanya, “Apakah harta yang sedang dibahagikan di masjid? Kerana tiada apa-apa disana,”. Lalu beliau berkata, “Apa yang dilihat kalian?”

Mereka pun menjawab lagi, “Kami melihat orang sedang solat, membaca Al-Quran dan juga orang yang mempelajari ilmu agama,”. Maka jawab beliau, “Itulah harta yang ditinggalkan oleh Rasulullah  SAW kepada kita,”.

Menangis terfikir ke syurga atau sebaliknya

Di penghujung usia Abu Hurairah, beliau seringkali menangis. Dikatakan, beliau menangis bukan disebabkan mengingati dunia yang sedang dihuninya, namun sebaliknya kerana berfikir tentang bekalan apa yang bakal dibawanya dan sama ada akan dimasukkan ke dalam syurga atau neraka.

Tambahan pula, Marwan bin Harqam sempat menziarahinya di penghujng usianya dan mendoakan agar beliau sembuh. Abu Hurairah pada ketika itu, sangat gembira kerana bertemu dengan Marwan dan berdoa kepada Allah SWT agar mempercepatkan usianya dalam keadaan yang indah.

Selepas sahaja Marwan keluar dari rumah pada ketika itu, Abu Hurairah terus menghembuskan nafasnya yang terakhir. Al-Fatihah..

Untuk menonton pelbagai kisah menarik tokoh-tokoh dalam sejarah Islam, boleh ikuti Siakap Keli di Youtube seperti video di bawah ini.

Sumber: Youtube Siakap Keli

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?