Siakap Keli
Azizulhasni bersara
Kredit: BERNAMA

Mohd Azizulhasni Rancang Bersara Selepas Sukan Olimpik Paris 2024

KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) — Olahragawan Kebangsaan Anugerah Sukan Negara (ASN) 2019/2020, Datuk Mohd Azizulhasni Awang bakal menamatkan era kegemilangannya sebagai pelumba basikal trek selepas Sukan Olimpik Paris 2024.

Pemenang pingat perak dan gangsa acara keirin masing-masing pada dua edisi terakhir Sukan Olimpik itu merancang untuk bersara selepas beraksi di Paris yang akan menjadi penampilan kelimanya di pentas temasya sukan berprestij itu.

“Jadi Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun ini merupakan penampilan terakhir saya. Justeru, saya ingin berikan sepenuh perhatian untuk memastikan saya dapat beraksi dengan cemerlang dan sekali lagi mencipta sejarah buat sukan tanah air kita,” katanya.

Bekas juara dunia itu berkata demikian dalam klip video ucapannya selepas dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan pada majlis ASN 2019/2020 yang berlangsung di sini, semalam.

Mohd Azizulhasni yang diberi julukan ‘The Pocket Rocketman’ memohon maaf kerana jadual latihan di Melbourne, Australia menghalangnya untuk menghadiri majlis gilang gemilang itu.

“Untuk pengetahuan semua, saya kini sedang giat menjalani latihan persiapan untuk Sukan Komanwel yang hanya berbaki 128 hari dan Sukan Asia yang berbaki 170 hari lagi,” kata atlet kelahiran Dungun, Terengganu itu.

Sukan Komanwel 2022 akan berlangsung di Birmingham, United Kingdom bermula Julai ini dan Sukan Asia di Hangzhou, China dijadual pada September.

Sementara itu, Mohd Azizulhasni menzahirkan terima kasih kepada semua pihak antaranya Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara, Majlis Olimpik Malaysia, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia dan Majlis Sukan Negeri Terengganu atas kejayaan dipilih sebagai Olahragawan Kebangsaan 2019/2020.

Ia merupakan kali keempat beliau dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan selepas turut dinobatkan pemenang anugerah berprestij itu pada 2009, 2010 dan 2017.

Sebagai rekod, pada Ogos tahun lepas Mohd Azizulhasni memberi bayangan mungkin akan bersara selepas Sukan Olimpik Paris 2024.

Sumber: BERNAMA

Akhmar Ikmal

"