Siakap Keli
maut terkena renjatan elektrik
Kredit: Kompas.Com

Sekeluarga Termasuk Bayi Maut, Terkena Renjatan Elektrik Dalam Bilik Air

JAKARTA – Sebuah keluarga termasuk bayi maut dipercayai akibat terkena renjatan arus elektrik alat pemanas air di kediaman mereka di Pulogadung, Jakarta Timur baru-baru ini.

Menurut Kompas.com, mangsa yang maut terdiri daripada sepasang suami isteri berusia 37 dan 29 tahun; bayi berusia 11 bulan; dan seorang pembantu rumah berusia 59 tahun.

Ketua Polis Pulogadung, David Richardo berkata, kejadian berlaku ketika wanita tersebut mahu memandikan bayinya dengan menggunakan alat pemanas air.

“Berkemungkinan besar renjatan elektrik tersebut berlaku ketika mereka mahu memandikan bayi itu.

“Suami serta pembantu rumah mereka bergegas ke bilik air setelah mendengar suara jeritan itu, namun masing-masing akhirnya terkena renjatan juga,” katanya, lapor Kompas.com.

Difahamkan, tragedi tersebut turut disedari oleh seorang lagi pembantu rumah yang juga merupakan adik kepada pembantu rumah yang maut dalam kejadian itu.

Lantas pembantu rumah tersebut terus menghubungi pihak polis dan ambulans, bagaimanapun keempat-empat mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Siasatan lebih terperinci akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dengan lebih jelas,” tambah David.

Kejadian serupa di Pahang, Malaysia

Terdahulu, turut berlaku tragedi yang hampir serupa di Malaysia melibatkan arus renjatan elektrik yang berpunca daripada alat pemanas di dalam bilik air.

Sepasang suami isteri ditemui mati dipercayai akibat terkena renjatan elektrik di dalam bilik air di sebuah pangsapuri di Taman Puncak Tringkap, Brinchang, Pahang pada 10 Mac lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menerima panggilan dari orang awam kira-kira 9.45 pagi pada hari kejadian.

Jelasnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kedua-dua mangsa ditemui terbaring di dalam bilik air di rumah tersebut yang berada di tingkat dua.

“Sampai di tempat kejadian, kami mendapati masih ada arus letrik di sekitar bilik air dan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB), telah dipanggil untuk membantu mematikan arus letrik rumah.

“Siasatan awal menemui kesan terbakar di tapak tangan isteri, 35, dipercayai terkena arus elektrik sewaktu cuba membantu suaminya, 46, yang sedang mandi menggunakan pemanas air semasa kejadian berlaku,” katanya, memetik laporan Bernama.

Beliau berkata menurut saksi, iaitu anak perempuan mangsa, 10, ketika kejadian ibunya sebelum itu meminta pertolongan dari bilik air supaya mengambil kayu yang dipercayai untuk digunakan sebagai penebat arus letrik, bagi membantu bapanya yang terkena renjatan letrik pada masa itu.

BACA JUGA: Suami Isteri Ditemui Mati, Dipercayai Terkena Renjatan Elektrik Dalam Bilik Air

Sumber: Kompas.Com

Faiz Mustafa