Siakap Keli
rempuh balai polis
Gambar: memomedsos

Wanita Nekad Rempuh Balai Polis Guna Motosikal Berjaya Ditahan

Seorang wanita berusia 28 tahun dilaporkan telah menceroboh Ibu Pejabat Polis Daerah Pematangsiantar, Indonesia dengan melanggar pintu masuk menggunakan motosikal hingga menyebabkan pintu dan dinding kaca bilik berkenaan pecah.

Wanita bertudung hitam yang menunggang motosikal itu berjaya ditahan dan seterusnya disoal siasat.

Pihak polis turut memeriksa kediaman wanita tersebut yang terletak di Jalan Hok Salamuddin, Desa Ladang Siantar, Kecamatan Siantar, Kabupaten Simalungun.

Ketua Polis Sumatera Utara, Inspektor Jeneral RZ Panca Putra Simanjuntak telah turun ke Ibu Pejabat Polis Siantar pada malam Isnin kira-kira jam 20:30 malam waktu tempatan.

Cuba pukul anggota dan melarikan diri

Inspektor Jeneral Panca Putra menjelaskan bahawa wanita itu telah datang dengan menaiki motosikal dari Jalan Sutomo, ketika polis trafik menjalankan kawalan trafik pada sebelah pagi.

Wanita tersebut didakwa mahu memukul pegawai polis itu kemudian melarikan diri dan menceroboh ibu pejabat Polis Pematangsiantar sebelum merempuh bilik SPKT.

“Dia nak pukul seorang anggota yang sedang mengawal (lalu lintas) tetapi tidak jadi. Apabila dikejar, dia terus masuk ke balai polis dan akhirnya merempuh bilik SPKT,” kata Inspektor Jeneral RZ Panca.

Nak kahwin kali ketiga

Siasatan telah dijalankan antaranya meminta keterangan daripada beberapa pihak termasuk ibu bapa wanita itu yang hadir di Polis Siantar.

Dikatakan wanita itu sudah dua kali berkahwin dan tinggal bersama ibu bapanya.

Wanita tersebut mempunyai pemahaman agama yang berbeza sedikit dengan ibu bapanya sejak bertemu suami keduanya.

Selain itu, daripada maklumat yang diperoleh daripada ibu bapa wanita berkenaan, perangainya serta penampilannya juga sudah berubah.

Baru-baru ini, wanita itu ingin berkahwin buat kali ketiga selepas diceraikan suami keduanya. Rancangan perkahwinan ketiga ini adalah permintaan daripada suami keduanya.

Bagaimanapun, kata Ketua Polis Negara RZ Putra, permohonan perkahwinan itu tidak diterima ibu bapa wanita berkenaan.

Menurut Inspektor Jeneral Panca, perubahan tingkah laku mula memuncak apabila wanita itu mula berpisah dengan suami keduanya. Polis juga akan menyiasat latar belakang suami kedua wanita tersebut.

“Memang dia rajin menjalankan ibadahnya. Namun, setiap hari dia juga sering mendengar ceramah daripada YouTube dan meminta ibu bapanya mendengar. Menurut ibu bapanya, ini adalah perangai yang berbeza dari dahulu,” jelasnya.

Pihak polis juga dilaporkan turut memeriksa bilik suspek, tetapi tidak menemui sebarang benda yang berkaitan dengan rangkaian keganasan.

“Apa yang jelas, kami tidak menemui buku berkaitan pengganas di rumah terbabit,” tambahnya.

Pihaknya kini sedang giat menyiasat motif wanita itu nekad bertindak sedemikian.

Di tempat sama, Pengerusi MUI Kota Pematangsiantar, M Ali Lubis berkata, kejadian pagi itu telah menggemparkan penduduk Siantar.

Ali difahamkan keadaan wanita itu sedikit terganggu selepas mengalami kemalangan suatu ketika dahulu. Kejadian itu, katanya, menjadikan cara berfikirnya kurang betul.

“Tadi kami telah beritahu ibu bapanya bahawa kami dari MUI sedia memberi tausiyah, nasihat agar tidak terpesong dari ajaran bangsa dan negara,” katanya.

Ibu wanita tersebut yang hadir di Polis Pematangsiantar menangis dan memohon maaf kepada masyarakat atas kejadian yang menimpa anaknya.

“Saya minta maaf kepada orang ramai yang merasa terganggu, anak saya salah, saya minta maaf kerana kami juga keluarga anggota polis, anak kami ada buat perkara di luar fikiran kami,” katanya.

 

BACA: Suri Rumah Curi Minyak Masak Di Kedai, Sempat Dirakam CCTV

Sumber: Kompas

Aireena Marizan

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.

error: