Siakap Keli
cara hilangkan bendasing dalam mata
Kredit: Hello Doktor

Jangan Gosok, Ini Cara Betul Nak Hilangkan Habuk Dalam Mata

Mata yang dimasuki bendasing seperti habuk pastinya akan mengganggu seseorang untuk melakukan aktiviti seharian. Mata bukan sahaja menjadi merah, kadang-kala nak dibuka pun susah.

Apabila situasi ini terjadi, kebiasaannya mata anda pasti akan terasa pedih dan gatal. Oleh kerana rasa tidak selesa, mata akan digosokdengan kuat bagi mengeluarkan bendasing tersebut.

Namun, tindakan menggosok mata yang dimasuki habuk tidak disarankan kerana boleh memberikan kesan buruk terhadap kesihatan mata seseorang.

Ikuti perkongsian oleh portal kesihatan, Hello Doktor bagi mengetahui cara yang betul untuk menghilangkan bendasing seperti debu, kotoran, dan partikel-partikel kecil dalam mata.

Punca-punca termasuk bendasing dalam mata

Bendasing yang paling biasa termasuk ke dalam mata, antaranya ialah seperti bulu mata, lendiran kering, kotoran dan pasir, habuk, kanta lekap yang hilang, zarah logam atau kaca dan alat solek.

Kotoran, pasir, dan debu biasanya memasuki mata melalui angin, sementara logam atau kaca biasanya terjadi ketika individu mengalami kemalangan ketika bekerja menggunakan alatan atau bahan tertentu.

Apa sahaja bendasing yang memasuki mata dengan tiba-tiba mampu menimbulkan risiko kecederaan mata.

Tanda-tanda mata termasuk bendasing

Tanda-tanda yang biasa terjadi apabila termasuknya bendasing dalam mata adalah kerengsaan, kemerahan, kesakitan, dan mata berair.

Menggosok mata boleh menyebabkan ia bertambah teruk kerana mampu mencalar kornea, selaput luar yang tidak berwarna.

Selain itu, mempunyai sesuatu yang termasuk ke dalam mata mungkin boleh menjadi gangguan terhadap penglihatan atau menyakitkan.

Justeru, sesiapa yang mengalami kesakitan mata yang teruk atau perubahan penglihatan harus segera berjumpa doktor.

Kewujudan objek asing pada mata boleh menyebabkan gejala-gejala seperti kesakitan atau ketidakselesaan, sensasi seakan terbakar atau kerengsaan, mata merah yang berair, terasa gatal apabila berkedip, penglihatan kabur pada mata yang terjejas dan sensitif terhadap cahaya.

Bendasing dalam mata juga boleh menyebabkan pendarahan subkonjunktiva, atau pendarahan di bahagian putih mata.

Kondisi ini secara umumnya tidak memerlukan rawatan perubatan dan dapat diselesaikan sendiri dalam 2 sehingga 3 minggu, tetapi lebih baik anda berjumpa doktor agar dapat mengelak daripada berlakunya kecederaan mata yang lain.

Cara-cara mengeluarkan bendasing dalam mata

Untuk mengeluarkan bendasing dalam mata, pastikan ia dilakukan dengan sangat berhati-hati agar kerengsaan tidak bertambah teruk.

Untuk mengeluarkannya daripada mata, cuba berkedip jika bendasing yang masuk adalah habuk kecil.

Namun sekiranya berkedip tidak dapat mengeluarkannya, anda boleh melakukan perkara-perkara berikut:

Pertama, basuh tangan dengan sabun dan air bersih. Keringkan tangan bagi mengelakkan penyebaran bakteria yang boleh menyebabkan jangkitan mata

Kedua, gunakan cermin untuk mencari lokasi bermasalah. Cara terbaik untuk melakukannya adalah dengan melihat ke atas dan ke bawah, kemudian ke kiri dan ke kanan.

Ketiga, titiskan cecair pada mata yang terjejas.

Keempat, semasa mata berada di dalam air yang dilalukan, berkedip beberapa kali untuk mengeluarkan bendasing dalam mata

Setelah objek tersebut tidak lagi berada di dalam mata, gunakan kain yang bersih untuk mengelap dan mengeringkan kulit di sekitar mata dengan lembut.

Berhati-hati semasa membuang serpihan mata dengan mengelak daripada menggosok mata, mengeluarkan sebarang kanta lekap sebelum cuba membuang serpihan, mengelakkan penggunaan benda tajamm dan mendapatkan rawatan perubatan sekiranya objek tersebut besar.

Segera hubungi doktor, jika bendasing tersekat di bebola mata (terutamanya kornea), keluar cecair atau berlaku pendarahan pada bebola mata, bendasing memasuki mata dengan kelajuan tinggi, objek tajam termasuk mata, pertolongan cemas yang anda lakukan tidak berjaya mengeluarkan bendasing pada mata dan objek asing berjaya dikeluarkan, tetapi kerengsaan masih berlangsung lebih dari 2 jam.

Langkah-langkah pencegahan

Kredit: Hello Doktor

Tahukah anda, sekiranya sesuatu objek asing termasuk mata dalam kelajuan yang tinggi, kecederaan mata yang teruk boleh berlaku, termasuklah kehilangan penglihatan!

Oleh itu, sentiasa memakai pelindung mata terutamanya ketika berada di tempat kerja yang berisiko tinggi seperti individu yang bekerja di tapak-tapak pembinaan dan sebagainya.

Bukan hanya melindungi bahagian depan mata, pelindung mata yang baik juga harus melindungi bahagian sisi mata.

Gunakan cermin mata khas yang mempunyai pelindung sisi agar mata dapat dilindungi sepenuhnya ketika bekerja.

Sebaiknya, pakai alat pelindung mata apabila bekerja di kawasan yang berhabuk atau berangin, bermain beberapa jenis sukan, seperti skuasy, bekerja dengan bahan kimia berbahaya dan toksik dan menggunakan mesin pemotong rumput.

Rumusan

Sekiranya pada masa hadapan kemalangan berlaku dan mata anda termasuk objek asing, usah panik!

Lakukan langkah-langkah yang telah dikupas di atas dan paling penting, pastikan anda mencuci tangan sebelum menyentuh mata terlebih dahulu.

Pun begitu, sekiranya objek tersebut besar dan tajam, jangan berlengah dan segera pergi ke klinik atau hospital berdekatan untuk mendapatkan bantuan yang lebih pakar, jangan cuba keluarkan sendiri pula ya!

Sumber: Hello Doktor

Akhmar Ikmal

"