Siakap Keli
korea utara
Gambar via BBC

Korea Utara Langgar Perjanjian, Lepas ‘Missile’ Terlarang Ke Perairan Jepun

Korea Utara dilapor telah melepaskan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) terlarang ke perairan zon ekonomi eksklusif (ZEE) Jepun baru-baru ini, lapor Japan Times.

Kementerian Pertahanan Jepun berkata, pelepasan peluru berpandu tersebut didakwa menetapkan ‘pentas’ pertarungan baharu bagi program senjata nuklear mereka.

Menurut laporan, pelancaran ICBM itu disyaki jelas menunjukkan Korea Utara yang dipimpin Kim Jong Un telah melanggar moratorium sendiri ke atas ujian nuklear dan peluru berpandu jarak jauh yang dilaksanakan pada 2017.

Menteri Pertahanan Jepun, Makoto Oniki berkata, peluru berpandu jenis baharu kelas ICBM itu terbang selama kira-kira 71 minit sebelum mendarat di ZEE Jepun.

Peluru berpandu itu dilapor mendarat di lokasi kira-kira 200 batu nautika atau 370 kilometer dari pantai berdekatan, serta sekitar 150 kilometer barat dari Hokkaido, Semenanjung Oshima.

“Pelancaran terbaru itu memberi ancaman serius kepada keselamatan kami. Tidak ada amaran awal mengenai tembakan itu dan trafik udara dan kapal laut berada dalam bahaya.

“Peluru berpandu itu telah ditembakkan dalam trajektori ‘bertingkat’ atau hampir lurus ke atas, mencecah ketinggian kira-kira 6,000 kilometer dan bergerak kira-kira 1,100 kilometer.

“Ia menjadikannya lebih berkuasa daripada ICBM Hsawong-15 Utara yang kali terakhir diuji pada November 2017 lalu,” katanya, memetik Japan Times.

Memetik Japan Times, ujian peluru berpandu terdahulu, Hwasong-15 pada November 2017 itu mencatat jarak sejauh 950 kilometer dan mencecah ketinggian setinggi 4,475 kilometer.

Sementara itu, Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida turut mengutuk sekeras-kerasnya pelancaran itu, selain menyebutnya sebagai tindakan melulu dan tidak boleh diterima.

Maklum Kishida, pihaknya akan berusaha menyelaraskan bersama anggota G7 dalam bertindak-balas terhadap ujian peluru berpandu balistik tersebut yang jelas melanggar Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Tambahnya, Jepun turut akan bekerjasama dengan Amerika Syarikat (US) dan Korea Selatan serta berkemungkinan akan mengenakan sekatan tambahan ke atas Pyongyang.

Dalam masa sama, Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in berkata, beliau juga mengecam pelancaran peluru berpandu berkenaan.

Beliau juga menyifatkannya sebagai satu pelanggaran penggantungan pelancaran ICBM yang dijanjikan sendiri oleh Kim kepada masyarakat antarabangsa.

Difahamkan, sebelum ini rejim Korea Utara di bawah Kim sudah pun tertakluk dengan beberapa siri sekatan yang membebankan program nuklear dan peluru berpandunya.

Menurut BBC, ICBM tersebut didakwa boleh bergerak beribu-ribu kilometer pada jarak yang standard, malah secara teorinya ia mampu sampai ke US.

Malah difahamkan, Korea Utara juga dilapor telah melancarkan siri ujian peluru berpandu dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Terdahulu, Korea Utara telah dilarang PBB daripada menjalankan ujian senjata balistik dan nuklear, serta turut dikenakan sekatan ketat lantaran ujian sebelumnya.

Pada 2018 lalu, Kim sendiri telah meletakkan moratorium ke atas peluru berpandu balistik jarak jauh dan ujian nuklear, berikutan perbicangan bersama Presiden US, Donald Trump ketika itu.

Gambar BBC News

Sumber: Japan Times / BBC News

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"