Siakap Keli
kanak-kanak maut diserang anjing
Gambar: Daily Mail & iStock

Kanak-kanak 17 Bulan Maut Diserang Anjing Peliharaan

UNITED KINGDOM – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 17 bulan maut selepas diserang anjing peliharaan milik keluarganya.

Menurut pihak polis setempat, siasatan sedang dilakukan untuk mengenal pasti sama ada haiwan tersebut merupakan anjing dari baka yang dilarang.

Polis juga sedang giat menjejak pemilik terdahulu anjing berkenaan yang dikatakan penduduk seakan-akan baka Staffordshire Bull Terrier atau Pitbull Terrier.

Anjing tersebut walau bagaimanapun telah ‘dilenyapkan’ pihak berkuasa dan kes disiasat di bawah Akta Anjing Berbahaya 1991.

Lapor Daily Mail, tragedi itu berlaku di rumah keluarga kanak-kanak tersebut yang terletak di Merseyside pada Isnin lalu, kira-kira jam 3.50 petang.

Keluarga kanak-kanak malang itu dikatakan baharu sahaja membeli anjing berkenaan seminggu sebelum kejadian tragis itu berlaku.

Jurucakap Polis Merseyside, Supritendan Steve Brizell berkata, kanak-kanak berkenaan kehilangan nyawanya dengan cara yang paling mengerikan.

“Mangsa dibawa ke hospital oleh paramedik  dengan ambulans, namun mangsa dilaporkan meninggal dunia setelah mengalami kecederaan.

“Semasa insiden terjadi, anjing tersebut telah diserahkan kepada pihak polis dan dilenyapkan dengan cara yang berperikemanusiaan,” jelas Brizell.

Kanak-kanak perempuan itu juga sempat diberikan bantuan pernafasan oleh jirannya yang kebetulan baru sahaja pulang dari menjemput anak-anaknya di sekolah.

Jiran kanak-kanak itu yang juga seorang petugas pelatih paramedik sempat memberikannya bantuan pertama sebelum pasukan paramedik bertugas tiba di tempat kejadian.

“Saya memberhentikan kereta setelah menjemput anak-anak dari sekolah. Saya terdengar jeritan dan berlari ke sana. Saya cuba membantu dengan memulakan CPR kira-kira 30 saat seorang diri, kemudian paramedik mengambil alih,” kata jiran mangsa.

Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan petugas kecemasan, kanak-kanak berkenaan disahkan meninggal dunia di hospital akibat kecederaan yang dialami.

Beberapa bulan lalu, satu lagi kes yang hampir sama dikatakan berlaku kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun di daerah Penyheol, Caerphilly.

Kanak-kanak lelaki berkenaan dikatakan maut selepas diserang anjing yang dikenali sebagai ‘Beast’ ketika sedang bermain dengan rakannya selepas tamat sesi persekolahan.

Sumber: Daily Mail

Eyla Azri

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.