Bahasa yang paling tidak biasa digunakan di dunia, Yagán, hilang sepenuhnya, lapor Guiness World Records. Ia berikutan penutur terakhir bahasa ini yang juga penjaga kepada budaya Yagan meninggal dunia pada 16 Februari lalu.
Menurut rekod, Cristina Calderón yang berusia 93 tahun itu merupakan satu-satunya individu yang mempunyai pengetahuan tentang bahasa berkenaan. Dalam sebahagian hidupnya, Calderon banyak menghabiskan masa dengan membukukan bahasa tersebut bagi memastikan ia tetap terpelihara.
Gambar : Guiness World RecordsAbuela Cristina : Simbol Penentangan Budaya
Selepas kematian kakaknya pada tahun 2003, Calderón atau dikenali sebagai ‘Abuela Cristina’ menjadi satu-satunya individu yang boleh bertutur dalam bahasa Yagán.
Abuela Cristina dikatakan meninggal dunia di wilayah Magallanes dan Antartika Chile akibat komplikasi COVID-19.
Dilahirkan pada tahun 1928 di Isla Navarino, Abuela Cristina mengisytiharkan dirinya penutur terakhir Yagán iaitu, bahasa yang tidak mempunyai bentuk bertulis.
Bagi kebanyakan orang, dia melambangkan penentangan budaya bagi komuniti orang asli Chile.
Gambar : Guiness World RecordsMamihlapinatapai : Lebih Daripada Kehilangan Bahasa
Berasal daripada Yagán, perkataan mamihlapinatapai memegang rekod pada tahun 1993 untuk perkataan yang paling ringkas.
Walaupun begitu, pada masa yang sama perkataan ini juga dianggap sebagai perkataan paling sukar untuk diterjemahkan, tetapi tafsiran romantisnya juga menjadikannya salah satu perkataan yang paling indah.
Dianggap sebagai “tidak boleh diterjemahkan,” istilah Fuegian digunakan untuk menyampaikan konsep yang tidak mempunyai definisi yang tepat dalam kebanyakan bahasa biasa.
Berdasarkan laporan, Abuela Cristina ada meninggalkan hadiah yang paling berharga iaitu, sebuah kamus kecil yang dikenali sebagai Yagankuta.
Kamus tersebut dicipta adalah untuk memulihara bahasa yang hilang, lengkap dengan terjemahan ke bahasa Sepanyol.
Usaha yang dilakukannya mendapat pengiktirafan sebagai ‘Harta Karun Hidup’ oleh Majlis Kebudayaan dan Kesenian Kebangsaan Chile.
Selain daripada kamus, cucunya, Cristina Zarraga, turut membantu dengan projek transkripsi dan mencipta CD dengan perkataan Yagán yang dirakam untuk didengar secara beriringan semasa menggunakan kamus berkenaan.
Sumber : Guiness World Records