Siakap Keli
Guru Juga Perlu Beradab
Gambar via Bernama

Guru Juga Perlu Beradab Kepada Anak Murid – Imam Nawawi

Guru juga perlu beradab kepada anak murid, adakah kenyataan ini sekadar teori atau satu perkara yang perlu amali?

Sejak dulu lagi kita selalu dipesan untuk sentiasa beradab dengan guru. Namun jangan terlupa, seseorang guru itu juga turut perlu memiliki adab yang baik kepada pelajarnya.

Inilah seperti yang ditulis oleh ilmuan Islam tersohor, Imam Nawawi dalam kitab karangannya, Al-Tibyan mengenai beberapa adab yang perlu dipatuhi oleh seorang guru dalam pendidikan.

Menurut Imam Nawawi, antara adab seorang guru adalah perlu memberi nasihat yang baik kepada anak murid. Ini termasuklah berlembut serta zahirkan rasa cinta terhadap mereka sepertimana mereka cintakan diri sendiri.

Mungkin dalam ramai pelajar, ada di antara mereka yang agak perlahan untuk memproses ilmu yang diberikan oleh guru. Namun itu bukanlah ‘tiket’ untuk guru menambah tekanan atau memarahinya.

Berlembut dalam konteks ini adalah dengan meraikan kemampuan pelajar yang pelbagai daripada mereka yang pandai, kurang pandai, kaya dan miskin.  

Seterusnya, seorang guru juga perlu mendidik anak murid secara berperingkat. Ini bermaksud guru tidak perlu mengajar anak murid segala ilmu itu secara serentak dan mengajar mengikut tahap kemampuan murid tertentu.

Disamping itu, menerapkan fardu kifayah juga penting kepada anak murid selain fardhu ain semata-mata. Jadi, pelajar juga mampu untuk menguasai fardu kifayah dan jadikan ia amalan kehidupan seharian mereka kelak.

Tauladan yang baik juga perlu dijadikan contoh kepada anak-anak murid sebagaimana Baginda Muhammad S.A.W yang menjadi contoh terbaik sebagai seorang guru.

Umat melihat Nabi Muhammad S.A.W sebagai contoh dalam menghayati Islam, manakala anak murid juga akan melihat guru yang mewarisi Baginda dalam menterjemahkan ilmu yang disampaikan.

Tidak sepatutnya seorang guru mengajarkan akhlak yang baik kepada murid, namun guru itu sendiri tidak menujukkan akhlak yang baik. 

Selain terhadap anak murid, guru juga perlu saling beradab sesama mereka. Dalam Al-Tibyan, antara adab guru adalah ikhlas dan perasaan cemburu terhadap guru lain perlu dielakkan. Sifat cemburu apabila anak murid lebih gemar belajar dengan guru yang lain tidak sepatutnya wujud dalam diri seorang guru.

Selain itu, cemburu itu juga dipercayai disebabkan oleh perasaan tidak ikhlas. Oleh itu, sebelum menjadi seorang guru, adalah lebih baik kita jika kita perbetulkan niat dahulu.

Hal itu boleh dijadikan panduan atau muhasabah diri supaya mampu jadi lebih baik dari kita yang hari ini. Dikhuatiri perasaan cemburu itu akan mencetuskan perbalahan dan laga-melagakan, seterusnya mencemarkan nama baik guru lain.

Sebagai penutup, untuk terus istiqamah sebagai seorang pendidik yang baik dan berkhlak mulia, lebih elok jika berada dalam kumpulan guru yang baik yang disebut sebagai “suhbah al-solihin“, iaitu yang saling ingat mengingati dan tegur menegur jika membuat kesilapan.

Sumber: Petikan dan olahan daripada artkel bertajuk ‘Adab-adab Mendidik’ di portal IKIM

 

Faiz Mustafa