Hanya premis-premis, farmasi dan fasiliti kesihatan yang mendapat kelulusan dari Medical Device Authority (MDA) sahaja yang dibenarkan untuk menjual kit ujian kendiri.
Menurut Ketua Penolong Pengarah, Cawangan Dasar, Inter-Agensi dan Hubungan Antarabangsa MDA, Norhafiza Mohd Salleh, satu dasar telah dibangunkan oleh MDA berkaitan penjualan kit ujian kendiri di pasaran bermula Julai 2021 lalu.
Ketika itu, hanya farmasi komuniti dan fasiliti kesihatan seperti klinik-klinik swasta sahaja yang mendapat kelulusan untuk menjual kit ujian tersebut.
Pun begitu setelah mengambil kira faktor kepentingan kesihatan dan keselamatan awam, dasar tersebut telah ditambah baik.
“Bagi memudahkan akses dan juga capaian kepada orang ramai terutama kepada masyarakat-masyarakat yang berada di luar bandar untuk membeli kit ujian kendiri ini, kita telah menambah baik dasar pada Oktober 2021.
“Kita bersetuju untuk membenarkan premis-premis jualan seperti kedai-kedai serbaneka dan pasar raya yang mendapat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk menjual kit ujian ini,” katanya ketika mengulas mengenai kesahihan kit ujian kendiri secara langsung di Siakap Keli TV.
BACA JUGA: Faktor Suhu Boleh Pengaruhi Kadar Ketepatan Kit Ujian Kendiri COVID-19 Terjejas
Jelasnya, premis-premis tersebut perlulah mematuhi syarat-syarat dan keperluan-keperluan yang ditetapkan oleh MDA.
Sementara itu, pihak MDA juga telah bekerjasama dengan KPDNHEP untuk memantau dan memastikan hanya kit ujian yang mendapat kelulusan sahaja dibenarkan untuk dijual di pasaran.
Dalam siaran langsung sebentar tadi, Norhafiza hadir bersama dua lagi panelis dari MDA iaitu Pengarah Bahagian Pasca Pasaran dan Penguatkuasaan (BPPP), Idamazura Idris@Harun dan Ketua Penolong Pengarah Cawangan Pendaftaran Peranti Perubatan, Mariammah A/P Krishnasamy.
Menerusi siaran itu, Mariammah pula menerangkan mengenai faktor yang menyebabkan kadar ketepatan kit ujian kendiri merosot.
Menurutnya, faktor utama adalah disebabkan oleh suhu dan cara penyimpanan.
Kit ujian mempunyai suhu yang tersendiri ketika ia dibuat di kilang iaitu sekitar 24 hingga 28 darjah Celcius.
Namun, keadaan kit ujian kendiri itu mungkin akan berubah bila dibeli oleh orang awam.
Sumber: Siakap Keli TV