BESUT, 31 Mac (Bernama) – Seluas 40.5 hektar daripada 390 hektar tanah di kawasan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kampus Besut kini diwartakan sebagai hutan simpan tanah bris pertama di negara ini.
Naib Canselor UniSZA, Prof Dr Fadzli Adam berkata tanah rezab kekal itu akan dikenali sebagai Taman Rimba Ilmu Tanah BRIS UniSZA (TRIBE).
“Pemilihan TRIBE merupakan salah satu projek merealisasikan kampus hijau sekali gus dapat menggalakkan lebih banyak kerjasama dengan pelbagai agensi untuk tujuan penyelidikan, inovasi dan pemuliharaan.
“TRIBE juga menjadi mercu tanda UniSZA Kampus Besut kerana merupakan hutan simpan tanah beris dalam universiti awam yang kaya dengan kepelbagaian biodiversiti flora dan fauna,” katanya ketika berucap sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2022 peringkat Terengganu di UniSZA Kampus Besut, di sini, hari ini.
Sambutan yang turut dihadiri Pengarah Perhutanan negeri Terengganu, Roslan Rani itu dirasmikan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Fadzli berkata terdapat lebih daripada 100 spesies tumbuhan di kawasan TRIBE seperti pokok gelam, kemunting, nibung, tongkat ali, periuk kera, orkid dan cucur atap.
“Sebanyak 5,100 pokok hutan pelbagai spesies telah ditanam oleh pihak UniSZA dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu dalam tempoh empat hari bermula 27 Mac lepas di kawasan itu.
“Spesies pokok hutan yang ditanam antaranya merawan siput, jantan, merawan bunga, balau pasir, gelam, penaga lilin, meranti sarang puni, karas, kembang semangkut dan pelbagai lagi,” katanya.
Tambahnya model pengurusan TRIBE akan dihasilkan sebagai panduan pengurusan yang lebih komprehensif mengenai penjagaan hutan.
— BERNAMA