Siakap Keli
Kredit: Google (Kiri)

Pengerusi MAIS Saran Perbanyak Amalan dan Ibadah Sepanjang Bulan Ramadhan

Shah Alam – YAD Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyarankan supaya umat Islam mengambil peluang untuk memperbanyakkan amalan terpuji dan ibadah sepanjang bulan Ramadhan ini.

Bermula 1 April 2022, negara memasuki fasa peralihan endemik, namun ia bukan halangan untuk setiap umat Islam meningkatkan ibadah dan mengambil keberkatan bulan Ramadhan. Pengalaman pelbagai ujian sepanjang Ramadhan fasa pandemik dua tahun lalu, seharusnya diambil ikhtibar dengan memenuhi setiap ruang dan masa untuk meningkatkan ibadah pada kali ini.

Kedatangan Ramadhan kali ini bukan sahaja orang Muslim boleh menjalankan ibadah sebagaimana biasa, namun adalah diharapkan masjid dan surau akan lebih dihidupkan dan dimakmurkan sebagai suatu bukti kerinduan yang lama tersimpan.

Walau bagaimanapun, umat Islam hendaklah sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan dan segera melengkapkan vaksin agar kesihatan diri terpelihara dengan sempurna.

Bulan Ramadhan juga adalah peluang kepada umat Islam menggandakan pahala dengan menunaikan kewajipan berzakat sama ada zakat harta dan fitrah melalui Lembaga Zakat Selangor (LZS), sedekah melalui Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), menunaikan wakaf melalui Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) dan sedekah anak yatim melalui Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE). Semua ini boleh dilaksanakan melalui atas talian di laman web MAIS www.mais.gov.my atau agensi yang berkaitan.

Kemudahan menunaikan ibadah melalui digital ini, adalah satu peluang untuk orang ramai melaksanakan ibadah tanpa pelbagai alasan. Rebutlah peluang ini dan elakkan melaksanakannya di saat akhir terutamanya dalam menunaikan kewajipan berzakat.

Diharapkan agar semua umat Islam memperbaharui niat untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti dalam melaksanakan ibadah serta memperbaiki diri supaya Ramadhan fasa endemik ini lebih baik daripada yang sebelumnya.

Selamat menyambut bulan Ramadhan dan selamat menunaikan ibadah puasa, kepada seluruh umat Islam.

Amira

Love yourself.