Siakap Keli
Gambar via Facebook

Abang Umum Ganjaran RM12,000 Jika Jumpa Acap Sebelum Hari Raya

CYBERJAYA – Abang kepada Mohammad Ashraf Hassan, peserta Gopeng Ultra Trail 2019 yang hilang sejak tiga tahun lepas, menawarkan ganjaran RM12,000 kepada individu yang berjaya menemui adiknya sebelum Syawal ini.

Abang kepada Mohammad Ashraf atau lebih dikenali sebagai Acap, Mohd Zahiruddin, 38, mengumumkan ganjaran tersebut setelah pelbagai usaha dilakukan oleh keluarganya bagi membawa pulang Acap.

“Siapa yang berjaya menemui adik saya, Acap sebelum raya, saya akan hadiahkan wang tunai sebanyak RM12,000,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook miliknya.

Mohd Zahiruddin turut meluahkan kekesalannya terhadap segelintir pihak yang mengambil kesempatan memuat naik kandungan video berunsur spekulasi berkait kehilangan Acap.

“Ada yang kata dia lari ada yang kata dia berkahwin dengan bunian dan tak nak balik, ada pula yang kata ditangkap jin kerana mencuri batu makan siput dan macam-macam lagi.

“Semua ini berpunca dari kandungan nakal pihak ‘YouTuber’ dan ‘influencer’ yang ketandusan modal idea sengaja mengetengahkan isu-isu rekaan supaya video mereka naik dan mendapat imbalan dan juga hasil,” katanya.

Dia turut meminta agar pihak tidak bertanggungjawab yang mempergunakan isu kehilangan Acap untuk berhenti dari menyebarkan berita tidak berasas.

“Di keberkatan Ramadhan yang bakal tiba, sebagai abang sulung dalam keluarga nak kata pada semua, sudah-sudahlah.

“Kitaran hidup kita ini pendek sahaja, musibah sebegini boleh terjadi pada siapa sahaja,” tulis Mohd Zahiruddin.

Sebelumnya, berita tentang Acap yang tiba-tiba menghilang pada 23 Mac 2019 sempat menggemparkan seluruh Malaysia.

Acap yang memulakan larian dari Gua Tempurung bagi kategori 25 kilometer disedari hilang selepas dia tidak tiba di garisan penamat, meskipun berada pada kedudukan 10 peserta teratas dalam pertandingan itu.

Misi pencarian Acap terpaksa ditamatkan pada tahun 2021 oleh pihak berkuasa dan keberadaan Acap kini masih menjadi misteri.

Pun begitu, keluarga lelaki yang berasal dari Muar, Johor itu masih belum putus harapan dan masih berharap agar Acap ditemui dalam keadaan selamat.

Acap yang meninggalkan isteri dan seorang anak perempuan setelah dilaporkan hilang tiga tahun lalu.

https://www.facebook.com/100001346185010/posts/4931600953561395/?d=n

Sumber: Facebook Denny Lang

Eyla Azri

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.