Kuala Lumpur – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk memberi Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah.
Menurutnya, ia termasuk kakitangan di bawah skim Contract of Service, Contract For Service, Pegawai Sambilan Harian serta lantikan di bawah MySTEP.
Selain itu, beliau juga berkata bantuan khas sebanyak RM250 turut akan diberikan kepada pesara kerajaan.
Pembayaran bantuan khas ini akan dibuat bersama dengan pembayaran gaji bulan April iaitu pada 25 April 2022.
“Bantuan khas tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM923 juta dan akan memanfaatkan lebih 2 juta penjawat awam dan pesara.
“Pengumuman pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri pada tahun ini dibuat lebih awal sebagai salah satu langkah keprihatinan kerajaan.
“Ia bagi membantu mereka membuat perancangan awal dan persiapan awal dan persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri,” katanya.
Tambahnya lagi, pemberian ini adalah bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada Keluarga Malaysia.
Selain itu, pemberian Bantuan Khas ini diharap dapat meringankan beban kewangan kepada penjawat awam dan pesara serta dijadikan sebagai pemangkin kepada mereka untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi.
Sumber: BERNAMA