Siakap Keli
pegawai bank rompak bank
Gambar: Tribun

Pegawai Bank Rompak Bank, Misi Gagal ‘Kantoi’ Guna Pistol Palsu

Seorang pegawai bank yang merompak sebuah bank ditahan polis selepas misi rompakannya musnah gara-gara pistol yang dibawanya ‘gagal’ menakutkan mangsa.

Lebih malang, tindakan ‘ganas’ suspek yang membawa senjata palsu jenis ‘airsoft’ itu berjaya dipatahkan dengan mudah oleh pengawal keselamatan bank berkenaan.

Memetik Tribun News, rompakan gagal tersebut dilapor berlaku di sebuah bangunan bank di Jakarta Selatan baru-baru ini.

Ketua Polis Jakarta Selatan, Budhi Herdi Susianto berkata, pegawai bank tersebut melakukan jenayah itu kerana terpaksa atas faktor kesempitan wang.

“Berdasarkan siasatan kami terhadap suspek, dia memang melakukan hal tersebut disebabkan faktor ekonomi.

Sebenarnya jawatannya agak baik, kakitangan HRD (bank). Kalau dilihat daripada segi pendapatan, gaji pun agak besar, kalau tak silap saya mencecah RM17,000 sebulan,” katanya.

Hasil siasatan mendapati suspek dibebani sejumlah hutang yang perlu dilunaskan dalam masa terdekat, selain turut diburu pemberi pinjaman wang.

Rompakan di siang hari

Menurut polis, kejadian rompakan itu berlaku di Bank Jawa Barat (BJB) cawangan Fatmawati, Jakarta Selatan sekitar 2:30 petang pada Selasa.

Difahamkan, suspek pada asalnya datang ke bank itu menaiki sebuah kereta Daihatsu Xenia berwarna kelabu dan meletakkan kenderaan tersebut di hadapan bank.

Suspek kemudian turun dari kenderaan dan berjalan menuju ke arah pintu bank, dalam masa sama bank itu telah ditutup daripada menerima kehadiran pelanggan.

Walaupun papan ‘close‘ terpampang di pintu kaca bank, namun peringatan itu tidak diendahkannya dan dia terus masuk sambil mengacu senjata dipercayai pistol.

“Sambil mengacukan pistol, suspek mengarahkan pengawal keselamatan dan pekerja lain untuk meniarap.

“Namun salah seorang pengawal keselamatan tidak menuruti permintaan suspek sehingga dia melepaskan tembakan.

“Suspek yang berang bertindak melepaskan tembakan, namun rupanya senjata tersebut bukanlah pistol asli,” kata Budhi, lapor Tribun News. 

Menyedari pistol yang digunakan suspek hanyalah senjata palsu, pengawal keselamatan tersebut bertindak berani melawannya semula.

Ketika suasana kecoh pengawal berkenaan melawan suspek, beberapa pekerja yang lain keluar dari bank dan meminta tolong.

Kebetulan pada masa kejadian, sebuah kereta peronda polis sedang melalui jalan raya sekitar lokasi kejadian.

“Oleh kerana melihat ramai orang dan ada yang meminta bantuan, maka anggota polis tersebut dengan pantas turun dari kereta peronda.

“Di tempat kejadian, bersama saksi pengawal keselamatan, mereka berjaya menahan suspek,” jelas ketua polis berkenaan.

Menurut Tribun News, suspek terbabit disiasat di bawah Akta 365 Undang-undang Darurat (Indonesia) dan berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun jika disabit kesalahan.

BACA JUGA: Dianggap Rompakan Kripto Terulung, “Hackers” Dilapor Berjaya Rompak ‘Wang’ Kripto Berjumlah RM 2.54 Bilion

Sumber: Tribun News

Faiz Mustafa