Lebih 30 orang dilapor maut dan 100 orang cedera setakat ini selepas sebuah stesen kereta api di Ukraine terkena bedilan roket.
Menurut laporan AFP, stesen kereta api yang terletak di bandar Kramatorsk itu ketika ini dijadikan sebagai tempat perlindungan orang awam.
”Stesen kereta api ini terkena dua bedilan roket. Ada laporan kecederaan dan korban melibatkan orang awam. Kami sedang menilai situasi yang sedang berlaku ketika ini,” kata Alexander Kamyshin, Ketua Pengarah Syarikat yang mengendalikan perkhidmatan kereta api di stesen tersebut.
Bagaimanapun, AFP tidak menyebut pihak yang bertanggungjawab melancarkan roket berkenaan.
Ukraine ketika ini sedang berdepan dengan pencerobohan negara jirannya, Rusia yang melancarkan operasi ketenteraan khusus ke atas negara tersebut sejak Februari lalu.
Rusia mendakwa, operasi berkenaan terpaksa dilancarkan selepas mendapat pemintaan daripada pemimpin Luhanks dan Donetsk, dua wilayah Ukraine yang mengisytiharkan kemerdekaan sebelum ini.
Dakwa Rusia lagi, kedua-dua wilayah tersebut berdepan dengan serangan dan penghapusan etnik yang didakwa dilaksanakan oleh tentera Ukraine.
Kedua-dua wilayah tersebut dikawal oleh kumpulan pemisah Pro-Rusia. Malah, Rusia juga telah mengiktiraf pengisytiharan kemerdekaan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin wilayah tersebut.
Akibat pencerobohan tersebut, beberapa negara khususnya di Eropah dan Amerika Syarikat telah mengenakan pelbagai sekatan ekonomi ke atas Rusia yang menyaksikan nilai matawang Ruble jatuh ke paras terendah dalam sejarah Rusia.
Rusia juga bertindak balas terhadap sekatan tersebut dengan mengenakan syarat semua urusan transaksi jual beli minyak dengan negara-negara yang dianggap sebagai bukan sahabat perlu menggunakan matawang Ruble, berbanding Dolar yang menjadi amalan dalam industri tenaga sebelum ini.
Menurut rekod, Rusia menjadi pembekal hampir 50 peratus bekalan minyak dan gas asli yang diperlukan untuk pelbagai sektor dan industri di benua Eropah.
#BREAKING 30 killed, 100 injured in station attack in Kramatorsk, eastern Ukraine: railways chief pic.twitter.com/UcQEe4USBw
— AFP News Agency (@AFP) April 8, 2022
BACA: Murid Sekolah Rendah Dibenar Hadir Ke Sekolah Tanpa Penggiliran Bermula 17 & 18 April Ini
Sumber: AFP, Twitter