Siakap Keli
Gambar via Bernama

Dua Daripada Tiga Penyelam Warga Asing Hilang Dekat Mersing Ditemukan Selamat – Polis

MERSING, 9 April (Bernama) — Dua daripada tiga penyelam warga asing yang hilang di Pulau Tokong Sanggol pada Rabu lepas, ditemukan selamat di selatan Pengerang, dekat Kota Tinggi awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Mersing Supt Cyril Edward Nuing berkata penyelam warga Britain Adrian Peter Chesters dan warga Perancis Alexia Alexandra Molina dijumpai oleh nelayan tempatan kira-kira pukul 1 pagi, yang memaklumkannya kepada pihak berkuasa.

Beliau berkata mangsa diselamatkan oleh Polis Marin Wilayah Dua dan dibawa ke hospital swasta di Pasir Gudang.

“Kedua-dua mangsa telah dihantar ke darat, kini berada di hospital untuk rawatan lanjut dan mereka dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pangkalan Hadapan Carilamat Jeti Awam Majlis Daerah Mersing, di sini hari ini.

Mangsa yang masih hilang ialah anak kepada Adrian Peter, Nathen Renze Chesters, 14, warga Belanda.

“Seorang lagi mangsa belum ditemukan dan pihak kami semakin giat dengan usaha mencari dan menyelamat,” katanya.

Sumber: Bernama

Eyla Azri