Siakap Keli
imam ditahan polis
Gambar: Sinar Harian

Imam Ditahan Polis, Dikesan Berlumba Motor Bersama Rakan

Shah Alam – Seorang lelaki dipercayai imam di sebuah surau yang disyaki berlumba motosikal bersama rakannya ditahan polis di Lebuhraya Klang Baru (NKVE) pada Ahad, lapor Sinar Harian.

Merujuk Sinar Harian, aksi lumba berkenaan dilakukan ketika imam tersebut masih berpakaian jubah dan baru sahaja selesai mengimamkan solat sunat tarawih di sebuah surau di Klang.

Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain, dua penunggang terbabit ditahan pada pukul 2 pagi selepas aksi mereka dikesan Ops Samseng Jalanan oleh Unit Risikan Operasi JSPT.

“Pemantauan mendapati dua penunggang itu melakukan aksi superman, bersaing sesama sendiri dan zig-zag yang membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.

“Polis telah menyita dua motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan Honda RS150R untuk tindakan lanjut,” katanya, memetik Sinar Harian.

Difahamkan, imam tarawih yang masih berusia 20 tahun itu merupakan bekas pelajar tahfiz.

Menurut Sinar Harian, kedua-dua mereka yang masing-masing berumur 20 dan 22 tahun itu telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Shah Alam untuk disoal siasat dibawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan.

Sumber: Sinar Harian

Faiz Mustafa