Siakap Keli
ronaldo
Gambar: Givemesport

Tangan Lebam & Telefon Rosak Dihempas Ronaldo, Ibu Penyokong Everton Luah Kekecewaan

Penyokong Everton yang tular setelah telefon bimbit miliknya dihempas oleh Cristiano Ronaldo semalam dilaporkan baru pertama kali menyaksikan perlawanan bola sepak dalam hidupnya.

Memetik laporan Givemesport, penyokong berusia 14 tahun itu juga merupakan seorang remaja autistik dan mengalami dyspraxia (gangguan pergerakan dan koordinasi akibat adanya kelainan pada perkembangan sistem saraf).

Ibu kepada remaja terbabit, Sarah Kelly berkata anaknya, Jake Harding, benar-benar terkesan dengan kejadian tersebut.

Tangan lebam

Menurutnya, tangan Jake juga mengalami lebam selepas ‘diserang’ oleh Ronaldo.

“Apabila perlawanan tamat, pemain Manchester United mula meninggalkan padang, kami berada betul-betul di tempat duduk tepi terowong yang dilalui oleh mereka.

“Anak saya merakam semua pemain United yang berjalan di situ dan dia kemudian menurunkan telefonnya kerana Ronaldo telah menarik stokinnya disebabkan kakinya berdarah.

“Dia menurunkan telefonnya untuk melihat kaki Ronaldo, dia tidak berkata apa pun.

“Ronaldo kemudiannya berlalu begitu sahaja dengan perangai yang ‘dahsyat’ dan menepis telefon dari tangan anak saya dan terus berjalan,” kata Sarah.

ronaldo
Gambar: Givemesport

Ujarnya lagi, dia benar-benar terkejut dengan kejadian itu dan terus menangis.

“Dia autisme dan mengalami dyspraxia, jadi dia benar-benar tidak dapat ‘mencerna’ apa yang berlaku kepadanya sehingga dia pulang ke rumah.

“Dia benar-benar kecewa mengenainya dan mungkin membantutkan semangatnya untuk menonton perlawanan bola sepak lagi.

“Saya faham jika Jake melambai ke mukanya tetapi dia tidak berada dekat di mukanya, dia hanya merendahkan telefon untuk memeriksa kecederaan yang dialami Ronaldo sahaja.

“Dia seorang budak autisme dan telah ‘diserang’ oleh pemain bola sepak, itu perspektif saya sebagai seorang ibu ,” katanya.

Terdahulu, Ronaldo dilaporkan telah menghempas telefon remaja terbabit sehingga rosak selepas kalah 0-1 dalam perlawanan menentang Everton semalam.

Buat permohonan maaf

Beberapa jam selepas itu, Ronaldo telah menyatakan permohonan maaf di atas kejadian itu.

Dalam kenyataan di Instagram, Ronaldo berkata tidak mudah untuk menangani emosi dalam saat-saat sukar seperti yang dihadapinya.

“Namun begitu, kita perlu sentiasa menghormati, bersabar dan menunjukkan contoh kepada semua anak muda yang menggemari permainan yang indah itu.

“Saya ingin memohon maaf atas perbuatan saya yang keterlaluan.

“Jika boleh saya ingin menjemput penyokong ini untuk menonton perlawanan di Old Trafford sebagai tanda permainan adil dan semangat kesukanan,” katanya.

Sementara itu, Polis Merseyside mengesahkan bahawa mereka telah menerima laporan berkaitan kejadian itu.

Mereka kini sedang berhubung dengan Kelab Bola Sepak Manchester United dan Everton FC.

BACA: Cristiano Ronaldo Mohon Maaf ‘Hempas’ Telefon Penyokong

Sumber: Givemesport

Sofea

Iqra'.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.