Siakap Keli
Gambar: Daily Star

Rumah Diceroboh Singa, Lelaki Nekad ‘Bertarung’ & Bunuh Guna Tangan

Seorang lelaki di Uganda nekad membunuh seekor singa dengan menggunakan tangannya sahaja sebelum menyiat haiwan itu dan memasaknya untuk makan malam.

Memetik laporan Daily Star, lelaki tersebut terpaksa bertarung nyawa dengan singa itu setelah haiwan pemangsa tersebut memasuki kawasan rumahnya.

Beberapa keping gambar selepas kejadian itu menjadi tular di media sosial.

Menerusi salah satu gambar tersebut, lelaki yang tidak didedahkan namanya itu dilihat mengalami beberapa kecederaan di bahagian wajah dan badannya selepas ‘bergusti’ dengan singa itu.

Malah, kesan cakaran turut dapat dilihat di bahagian dada dan perutnya.

“Seorang lelaki dari daerah CMS Iganga timur Uganda mengalami kecederaan selepas ‘melawan’ seekor singa yang ditemuinya berhampiran rumah dan telah membunuhnya,” kata seorang pengguna Twitter.

Bagaimanapun, ada yang mempertikaikan lokasi kejadian tersebut dengan mengatakan bahawa ia sebenarnya berlaku di daerah Mpefu Kagadi.

Maklumat lanjut mengenai kejadian tersebut tidak diketahui dan membuatkan netizen ‘bertelagah’ kerana ada yang berkata tindakan membunuh singa itu tidak sepatutnya berlaku.

Sumber: Daily Star

Sofea

There's always another side to every story