MOSCOW – Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov mendakwa tindakan ketenteraan Rusia ke atas Ukraine adalah untuk menamatkan order dunia yang dikuasai Amerika Syarikat.
Dakwanya lagi, Amerika Syarikat sekian lama cuba menguasai dunia dengan melaksanakan peraturan sendiri dan melanggar undang-undang antarabangsa.
Kenyataan dibuat beliau merujuk kepada dakwaan percubaan Amerika Syarikat mencipta ‘order dunia’ mengikut kehendak sendiri dan perkara berkenaan akan ditentang Moscow termasuk Beijing.
“Operasi ketenteraan khas kami bertujuan untuk menamatkan perluasaan tanpa malu dan usaha tanpa segan silu ke arah penguasaan penuh oleh Amerika dan negara barat di pentas dunia,” katanya.
Tegasnya lagi, Rusia antara negara yang tidak akan tunduk pada peraturan Washington. Bagaimanapun, Rusia tidak mempunyai sebarang masalah untuk menjadi sebahagian daripada komunti dunia yang setara namun tidak akan sesekali tunduk kepada dunia barat sekiranya kedaulatan dan keselamatan Rusia diambil mudah.
Disamping itu, beliau juga mengecam Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah, Josep Barell kerana mendakwa pemimpin itu menyokong lebih banyak pertempuran di Ukraine.
Sebelum ini, Barell dilapor mengeluarkan kenyataan yang menyebut “konflik ini akan dimenangi di medan perang”, merujuk kepada konflik Ukraine-Rusia. Malah, Barell juga mengumumkan lebih banyak bantuan ketenteraan akan diberikan kepada Kiev.
Sergey menyifatkan kenyataan tersebut sebagai ‘keterlaluan’.
Beliau seterusnya mendakwa tindak-tanduk Kesatuan Eropah yang berubah dan bertindak seolah-olah organisasi kententeraan mungkin akibat desakan daripada ‘orang atas’ iaitu Amerika Syarikat.
Di pihak Rusia, Sergey berkata Moscow sentiasa mahukan penyelesaian damai berhubung konflik dengan Ukraine.
Rusia bertindak menyerang negara jirannya, Ukraine pada akhir Februari lalu berikutan kegagalan negara tersebut melaksanakan syarat perjanjian Minsk yang ditandatangani sejak 2014 selain tindakan Rusia mengiktiraf kemerdekaan dua wilayah Ukraine iaitu Donetsk dan Lugansk.
Moscow kini dengan tegas menuntut Ukraine secara rasmi mengistiharkan negara tersebut sebagai negara berkecuali dan tidak akan menyertai blok ketenteraan NATO yang diketuai oleh Amerika Syarikat.
Sumber: Rusia News.com