Siakap Keli
tak sedar mengandung
Gambar: Daily Mail

Wanita Tak Sedar Dirinya Mengandung, Hampir ‘Flush’ Bayi Dalam Mangkuk Tandas

London – Seorang wanita hampir menjirus atau ‘flush‘ bayinya ke dalam mangkuk tandas hospital apabila dia tak sedar bahawa dirinya sedang mengandung.

Namun ‘keajaiban’ berlaku apabila wanita tersebut melihat lengan kecil di dalam mangkuk tandas dan ketakutan apabila menyedari nyawa bayinya itu berada dalam bahaya.

“Fikiran saya kosong, saya diletakkan di dalam bilik lain kerana pastinya saya menangis dan ibu saya juga menangis.

“Ia adalah satu kejutan dan trauma bagi kami berdua dan saya merasakan seperti nyawa saya dalam bahaya,” katanya mengimbas kembali kejadian tak disangka-sangka itu.

Bayi tak bernafas setelah dikeluarkan

Memetik laporan Daily Mail, bayi lelaki tersebut dalam keadaan tidak bermaya dan tidak juga bernafas ketika dikeluarkan dari mangkuk tandas setelah kira-kira tujuh minit tersepit.

Bayi berkenaan yang dilahirkan cukup bulan kini dalam keadaan sihat selepas diberikan bantuan oksigen dan dipantau pihak hospital.

Ibu muda berusia 23 tahun itu telah dibawa ke bahagian kecemasan Hospital Northwick Park, London oleh ahli keluarganya selepas mengadu sakit perut pada 26 Mac lalu ketika berada di rumah.

Lima bulan sebelumnya, wanita berkenaan mula mengambil pil perancang kehamilan setelah mendapatkan nasihat doktor.

Ujian kehamilan negatif

Wanita itu tidak merancang memiliki anak dalam masa terdekat sebelum menamatkan pengajiannya di peringkat ijazah sarjana di Universiti Roehampton.

Dia juga telah melakukan dua kali ujian kehamilan pada Februari lalu dan kedua-duanya menunjukkan keputusan negatif.

“Jika saya tahu saya mengandung, saya akan menghargai saat-saat itu dengan pergi membeli-belah, menyediakan barang untuk bayi saya,” ujar wanita itu.

Wanita berkenaan juga kesal dengan doktor keluarga yang dirujuk sebelum ini atas kelalaian dalam melakukan ujian sehingga dia tidak mengetahui dirinya mengandung.

Dia yang baharu menjalani pembedahan telah beberapa kali merujuk kepada doktornya setelah mengalami beberapa simptom.

Wanita tersebut mengaku mengalami penambahan berat badan dan sesak nafas, lalu memutuskan berhenti dari mengambil pil perancang.

“Ia satu rahmat dan saya gembira dengan kelahiran bayi saya.

“Tetapi sejujurnya, hasil pembedahan itu sepatutnya menunjukkan sesuatu kerana saya memaklumkan saya sudah berkahwin dan mahu melanjutkan pengajian ijazah sarjana saya,” jelas wanita berkenaan memetik laporan Daily Mail.

Berita kelahiran bayi ini bukan sahaja mengejutkan bagi wanita berkenaan, malah suaminya yang sedang berada di luar negara turut tidak menyangka mereka menimang cahaya mata dengan cara yang tak disangka-sangka.

Sumber: Daily Mail

Eyla Azri