Siakap Keli

Dr Zulkifli Kongsi Doa Indah Nabi Ibrahim Dalam Juzuk Ke-13, Boleh Amal Setiap Hari

Bulan Ramadan adalah bulan yang mulia kerana di bulan ini terdapat ibadah khusus iaitu diwajibkan berpuasa dan juga bulan di mana turunnya kitab suci al-Quran Kalamullah. Selain berpuasa, dalam bulan yang penuh barakah ini juga kita digalakkan untuk memperbanyakkan ibadah-ibadah yang lain. Antara amalan yang sangat digalakkan adalah membaca al-Quran 30 juzuk.

Sudah menjadi kebiasaan umat Islam, di bulan yang mulia ini kita akan bertadarus dan mengkhatam Al-Quran dalam tempoh sebulan. Bagi yang bermula dari 1 Ramadan dan membaca 1 juzuk sehari, hari ini anda akan tiba di juzuk 13 kan?

Jadi, kali ini kami nak berkongsi dengan anda keistimewaan yang ada dalam juzuk ke 13 ini.

Menurut Dr Zulkifli Mohamad al Bakri dalam satu perkongsian di laman Facebook milikinya, dalam juzuk ini mengandungi Surah Ibrahim dan di dalamnya terkandung satu doa yang indah. Katanya lagi, doa ini adalah doa daripada Nabi Ibrahim Alaihissalam sendiri.

Doa tersebut merupakan ayat ke-40 dalam surah berkenaan. Petikannya adalah seperti dibawah.

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

“Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. (Surah Ibrahim: 40)

Kenali nama-nama lain bagi Al-Quran

Seperti yang diketahui umat Islam, Al-Quran adalah mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW di bulan Ramadan. Kitab suci ini biasa dirujuk dengan nama Al-Quran, namun begitu, sebenarnya kitab suci umat Islam ini juga mempunyai nama-nama indah yang lain juga.

Memetik daripada perkongsian Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, selain diberi nama Al-Quran, kitab suci ini juga dipanggil sebagai ‘Al-Kitab’ yang mana dari segi istilah bahasa bermaksud ‘himpunan’.

Nama lain bagi Al-Quran juga adalah Al-Mushaf yang berasal daripada perkataan ashaf iaitu ‘mengumpulkan al-shuhuf (lembaran)’. Al-Mushaf membawa maksud ‘nama yang ditulis padanya kalam Allah’.

Al-Quran juga dipanggil sebagai Al-Nur kerana menyingkap perkara kebenaran dan menerangkan perkara yang tidak jelas tentang halal dan haram serta memberi penjelasan yang tidak dapat dicapai oleh akal fikiran.

Selain itu, Al-Furqan juga adalah nama lain bagi Al-Quran. Nama ini diberi kerana Al-Quran membezakan antara perkara yang benar dengan yang batil.

https://www.facebook.com/drzulkiflialbakri/posts/547560236731157

Sumber: Dr Zulkifli, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.