Siakap Keli

Lelaki Ditahan, Tetak Isteri Berkali-Kali Guna Pisau Pemotong

Singapura – Seorang wanita dilaporkan telah ditetak oleh suaminya dalam kejadian di Beach Road pada Khamis.

Memetik laporan TNP, wanita berusia 41 tahun itu telah dihantar ke hospital akibat kecederaan yang dialaminya.

Angkatan Pertahanan Awam Singapura berkata bahawa mereka telah menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian tersebut pada jam 5.30 petang.

“Siasatan awal mendapati lelaki berusia 46 tahun itu didakwa menyerang wanita itu menggunakan pisau pemotong.

“Sebelum ketibaan pegawai, lelaki itu dipercayai telah mengelar pergelangan tangan isterinya,” kata pihak Angkatan Pertahanan Awam Singapura.

Tambah pihaknya, lelaki itu kemudian telah ditangkap dan dihantar ke hospital dalam keadaan sedar.

Pisau pemotong yang digunakan dalam kejadian tersebut juga telah dirampas oleh pihak polis.

Komander Bahagian Polis Pusat, Asisten Komisioner Polis (JPA) Jeremy Ang berkata pihaknya memuji orang ramai yang telah menghalang lelaki itu daripada terus membahayakan wanita itu.

Lelaki tersebut akan didakwa di mahkamah pada Sabtu ini atas cubaan membunuh.

Jika disabitkan kesalahan, dia boleh dipenjara seumur hidup atau sehingga 20 tahun serta denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, polis juga menasihatkan orang ramai untuk tidak menyebarkan video itu dan membuat spekulasi mengenai kes tersebut.

Terdahulu, rakaman video yang memaparkan insiden berkenaan telah tular di media sosial.

Menerusi video itu, orang ramai yang berada di tempat kejadian menghalang tindakan suspek dengan melemparkan beberapa barangan seperti tong sampah dan kerusi.

Seorang pekerja dari kedai makan berhampiran berkata, dia melihat seorang wanita berlari keluar dari belakang salah sebuah kedai dan seorang lelaki datang kepadanya dengan membawa pisau pemotong.

Insiden itu dikatakan berlarutan lebih kurang 10 minit.

Dalam pada itu, seorang pemilik restoran memberitahu bahawa mangsa merupakan salah seorang pekerjanya.

@utusantvofficial

Kejadian 14 APR 2022 | 75 Beach Road Singapura. #beritaditiktok #TrendingNewsMalaysia #fyp

♬ original sound – UtusanTV – UtusanTV

@utusantvofficial

Reply to @waheda1230 . Part 2 kena tangkap polis. #fyp #TrendingNewsMalaysia #beritaditiktok

♬ original sound – UtusanTV – UtusanTV

Sumber: TNP

Sofea

There's always another side to every story