Siakap Keli
Gambar Via Bernama

KD Jebat Patahkan Cubaan 21 Bot Nelayan Asing Masuk Perairan Negara

IPOH, 18 April (Bernama) — Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya mengekang cubaan pencerobohan 21 buah Bot Nelayan Asing (BNA) daripada memasuki perairan negara berhampiran perairan Pulau Perak petang semalam.

TLDM dalam kenyataan memaklumkan penyaluran maklumat yang pantas menerusi Pusat Kawalan Maritim (MCC) Barat telah mengatur gerak aset terhampir iaitu Kapal Diraja (KD) Jebat untuk ke lokasi pengesanan awal BNA itu di sekitar perairan Selatan Pulau Perak.

“Setiba di posisi pengesanan, KD Jebat mempamerkan kecekapan menerusi tindakan pengusiran ke atas tiga buah BNA di lapangan dan kekal membayangi BNA sehingga keluar meninggalkan sempadan perairan negara.

“Baki 18 buah BNA lagi yang dilaporkan, dipercayai telah meninggalkan perairan negara setelah menyedari kehadiran dan keberadaan aset pertahanan maritim negara,” menurut kenyataan itu.

Sebelum itu, pesawat B200T (RMF 377) milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mengesan keberadaan 21 buah BNA berkenaan di dua posisi berbeza iaitu pada 36 batu nautika Selatan Pulau Perak dan 40 batu nautika Barat Laut Pulau Jarak.

“Maklumat pengesanan lantas disalurkan kepada komponen maritim bagi tujuan tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Angkatan Tentera Malaysia tidak akan berkompromi dalam aktiviti yang melibatkan keselamatan dan ketidakpatuhan undang-undang negara.

Sumber: BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story