Bintang bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo memaklumkan bahawa salah seorang bayi kembarnya yang baru dilahirkan telah meninggal dunia semalam.
Menerusi kiriman di media sosialnya, Ronaldo dan pasangannya, Georgina Rodriguez meluahkan kesedihan atas pemergian bayi lelaki mereka itu.
“Dengan kesedihan yang mendalam, kami ingin mengumumkan bahawa bayi lelaki kami telah meninggal dunia.
“Ia adalah kesakitan paling hebat yang boleh dirasai oleh mana-mana ibu bapa,” kata pasangan itu.
Tambah kenyataan itu lagi, bayi perempuan mereka berada dalam keadaan baik-baik sahaja dan menjadi sumber kekuatan untuk mereka pada ketika ini.
“Kini hanya kelahiran bayi perempuan kami sahaja dapat memberi kekuatan kepada kami untuk menjalani detik ini dengan sedikit harapan dan kebahagiaan,” kata mereka.
Pasangan itu juga turut mengucapkan terima kasih kepada doktor dan jururawat yang memberikan sokongan dan penjagaan kepada mereka.
Susulan pengumumannya itu, ramai yang mengucapkan takziah buatnya termasuk kelabnya, Manchester United, Liverpool FC dan Newcastle FC.
Terdahulu, Ronaldo mengumumkan pada Oktober 2021 bahawa dia dan pasangannya sedang menantikan kelahiran anak kembar mereka.
Georgina pertama kali berkenalan dengan Ronaldo semasa bekerja sebagai pembantu kedai untuk Gucci.
Dia mempunyai hubungan yang rapat dengan anak-anak Ronaldo yang lain iaitu Cristiano Jr, Mateo dan Eva.
BACA: Cristiano Ronaldo Umum Di Instagram, Teman Wanita Mengandung Anak Kembar
Sumber: Mirror