Seorang lelaki di Florida, US telah tonton filem aksi Marvel Spider-Man: No Way Home sebanyak 292 kali selama tiga bulan, sekaligus berjaya memecah rekod dunia, lapor CNN.
Menurut CNN, lelaki tersebut, Ramiro Alanis mengganggarkan bahawa dia telah membelanjakan lebih RM14,000 untuk membeli tiket wayang filem tersebut selama tempoh tiga bulan.
Imbas kembali, sebelum ini Alanis pernah memecahkan rekod dengan menonton filem yang sama secara berulang-ulang kali mengikut jumlah sasaran tertentu.
Menurut siaran berita Guinness World Records, pada 2019 dahulu, Alanis telah menonton filem Avengers: Endgame sebanyak 191 kali.
Tetapi pada 2021 berikutnya, rekodnya itu ‘dirampas’ oleh seorang lagi individu, Arnaud Klein yang menewaskannya dengan menonton Kaamelott: First Installment sebanyak 204 kali.
Justeru untuk memenangi kembali gelaran itu, Alanis menghabiskan masa selama 720 jam bersamaan 30 hari dengan menonton filem Spider-Man: No Way Home tersebut bermula dari 16 Disember 2021 hingga 15 Mac 2022.
Bagi beberapa minggu pertama dalam rekod percubaannya, dia telah menonton lima kali tayangan berturut-turut setiap hari di pawagam.
Sehinggalah genap tempoh tiga bulan tersebut, Alanis akhirnya berjaya mencipta rekod baharu buat dirinya sendiri.
Tanda penghormatan untuk mendiang nenek
Menurut Guinness, tujuan Alanis mengejar rekod itu sebenarnya adalah sebagai tanda penghormatan kepada mendiang neneknya, Juanny.
“Dia adalah penyokong pertama saya dan saya mahu kekal sebagai pemegang rekod,” katanya dalam siaran berita, memetik CNN.
Difahamkan, antara syarat yang dikenakan untuk rekod tersebut adalah sesuatu filem itu mestilah ditonton secara bebas tanpa sebarang aktiviti lain.
Oleh itu, Alanis langsung tidak boleh tidur walaupun sebentar, selain dilarang menggunakan telefon atau pergi ke bilik mandi semasa menonton filem itu.
Tambahan pula, Alanis membahagikan waktu menonton filem tersebut dengan tanggungjawab keluarga dan kerja.
Sehubungan itu, aktiviti menonton filem itu secara beratus-ratus kali mampu membuatkan Alanis mahir dalam skrip filem berkenaan.
Malah Alanis juga turut mendakwa kepada Guinness bahawa dia boleh mengingati dan membaca dialog filem itu secara bersama ketika ia ditayangkan.
Filem Spider-Man: No Way Home telah menampilkan Tom Holland sebagai Peter Parker dan Zendaya sebagai Marry Jane.
Dalam penceritaan filem aksi ini, kedua-dua pelakon tersebut berhadapan dengan watak penjahat atau antagonis Marvel.
Selain itu, filem itu juga turut menampilkan semula pelakon Spider-Man dalam siri terdahulu iaitu Andrew Garfield dan Tobey Maguire.
Untuk rekod, filem Spider-Man: No Way Home telah berjaya mencatat hasil keuntungan lebih RM4.2 bilion bagi tayangan secara global setakat ini.
Sumber: CNN