Polis menahan sorang lelaki bukan warganegara yang tular selepas tidak memakai pelitup muka dan mengeluarkan kata-kata kesat serta menunjukkan isyarat lucah kepada pengawal keselamatan yang sedang bertugas di sebuah pasaraya di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superitendan Ashari bin Samah berkata suspek telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju kira-kira jam 8.30 malam untuk memberi keterangan setelah menyedari videonya tidak memakai pelitup muka tular di media sosial.
Pihak polis kemudian menahan lelaki tersebut untuk siasatan lanjut.
Jelasnya, tangkapan merupakan warganegara Kanada berusia 44 tahun dan bekerja serta menetap di Kuala Lumpur.
Ujar beliau, kes masih disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil dan Peraturan 18 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan).
Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Orang ramai yang mempunyai maklumat dalam kejadian ini boleh tampil memberi maklumat atau menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana- mana balai polis berhampiran.
BACA: Menjelang 10 Hari Terakhir Ramadan, Ini Formula Imam Ghazali ‘Mencari’ Lailatul Qadr
Sumber: Polis KL