Siakap Keli
maut curi kereta
Gambar via Daily Mail

Suspek Curi Kereta Maut Dalam Kemalangan Lepas Curi Kereta Dan Pukul Warga Emas

TEXAS – Seorang lelaki dilaporkan maut dalam kemalangan sejurus selepas memukul dan mencuri kereta seorang warga emas.

Menurut Daily Mail, mangsa yang juga seorang wanita berusia 72 tahun telah diserang lelaki berkenaan ketika berhenti di salah sebuah stesen minyak untuk membeli minuman.

Lelaki tersebut kemudiannya bertindak merampas kunci kereta dan menumbuk muka mangsa, menyebabkan wajah wanita itu berdarah dan lebam.

Beberapa orang awam yang berada di tempat kejadian cuba menahan suspek, namun lelaki itu berjaya melarikan diri.

Tidak lama selepas insiden itu, polis telah menemui kereta warga emas tersebut yang telah remuk dan suspek didapati maut di dalam kereta curi berkenaan.

Memetik laporan Daily Mail, wanita tersebut kini masih dalam proses pemulihan dan turut berdukacita atas pemergian penyerangnya.

“Ramai orang kata apa yang berlaku adalah karma.

“Saya tidak merasakan hal itu, yang saya tahu, saya sedih kerana dia meninggal dunia,” ujar wanita warga emas itu, memetik laporan Daily Mail.

Selepas keretanya yang dicuri terlibat dalam kemalangan maut itu, wanita berkenaan tidak lagi mempunyai kereta untuk berulang-alik dari tempat kerjanya.

“Saya tidak mahu berhenti kerja dan saya perlu dapatkan kereta lain.

“Ia memerlukan wang dan sebagainya, jadi saya perlu cari cara untuk dapatkannya,” tambahnya.

Penduduk setempat dan cucu kepada wanita tersebut bagaimanapun telah mengumpul dana sebanyak $23,000 (kira-kira RM98,543) bagi mendapatkan kereta baharu untuk wanita berkenaan.

Sumber: Daily Mail

Eyla Azri