Siakap Keli
Gambar Hiasan via Google

Bekas Penyelia Rancangan Tanah Tak Mengaku Salah Palsu Dokumen

KUANTAN, 21 April (Bernama) — Seorang bekas penyelia rancangan tanah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan memalsukan dokumen berkaitan senarai akaun penerimaan bayaran tunai, dua tahun lepas.

Muhammad Aizat Ziadi, 33, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Tertuduh yang beralamat di Temerloh didakwa memalsukan tandatangan peneroka pada dokumen Senarai Akaun Penerimaan Bayaran Tunai Paysheet (PS) November 2020 dan Senarai Akuan Penerimaan Bayaran Tunai Pendahuluan (PT) Disember 2020 di Pejabat Felda Sebertak, Bera.

Muhammad Aizat didakwa mengikut Seksyen 464 (a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nadzirah Zahari menawarkan jaminan RM5,000 sebelum tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah itu dikurangkan atas alasan kewangan.

“Saya telah diberhentikan kerja selepas kejadian itu dan baru mendapat kerja sebagai mekanik di Johor dengan gaji RM1,200 sebulan. Saya juga menanggung orang tua,” katanya.

Ahmad Zamzani membenarkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan sehingga kes selesai.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 25 Mei ini bagi lantikan peguam.

Sumber: Bernama

Eyla Azri

" "