Siakap Keli
kahwin hospital
Gambar: Mothership

Sibuk Kerja Sampai Tak Sempat Ambil Cuti, Doktor Nekad Buat Majlis Kahwin Di Hospital

Kerana terlalu sibuk bekerja sehingga tidak sempat mengambil cuti, seorang doktor memutuskan untuk mengadakan majlis kahwin di hospital.

Doktor bius dari China ini telah melangsungkan perkahwinan bersama pasangannya yang juga seorang jururawat, pada 16 April lalu.

Menurut media tempatan, kedua-dua mereka yang dikenali sebagai Zhou Guanhua dan Wang Bingbing berkhidmat di hospital yang sama iaitu Hospital Taihe di wilayah Fuyang.

Rakan sekerja mereka turut meraikan pasangan itu dengan merancang sebuah majlis kahwin ringkas di hospital sebagai kejutan.

Mereka menghias laluan pejalan kaki dan ruang umum, di mana upacara perkahwinan diadakan, dengan hiasan yang selalunya digunakan semasa majlis kahwin.

Kakitangan hospital turut mengubah bilik persalinan wanita kepada ruang menunggu pengantin perempuan yang dilabel sebagai “bilik persalinan anak perempuan”.

Pengantin lelaki kemudiannya menggendong pengantin perempuan menelusuri laluan pejalan kaki untuk ke ruang umum.

Di dalam ruang berkenaan, sebuah televisyen dipasang dan terpapar gambar-gambar detik manis pasangan itu beserta video dari rakan sekerja mereka.

Tidak dapat dipastikan sama ada pasangan doktor dan jururawat ini dibenarkan bercuti selepas majlis perkahwinan mereka dilangsungkan.

Namun melihat kepada pakaian yang mereka kenakan semasa majlis tersebut, sepertinya pasangan itu tetap menyambung tugas masing-masing setelah majlis selesai.

Semoga pasangan ini sentiasa berbahagia walaupun sibuk menjalankan amanah mereka sebagai petugas barisan hadapan.

Sumber: Mothership

Eyla Azri