Siakap Keli

Majlis Perasmian Semarak Syawal Peringkat Kebangsaan @ Medan Niaga Satok, Sarawak

KUCHING, 24 April 2022 –Semarak Syawal Peringkat Kebangsaan telah dirasmikan oleh YB  Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, Menteri Pertanian dan Industri Makanan hari ini di Medan Niaga  Satok (MNS), Sarawak.  

Kementerian Pertanian & Industri Makanan (MAFI) melalui Lembaga Pemasaran Pertanian  Persekutuan (FAMA) akan membuka 797 outlet pemasaran di seluruh negara yang terdiri  daripada Pasar Tani, Pasar Tani Kekal, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Agrobazaar  Rakyat (ABR), Agrobazaar Kedai Rakyat (AKR), My Farm Outlet (MFO) dan Medan Niaga Satok  (MNS).  

Konsep outlet-outlet pemasaran ini adalah bertujuan bagi memberi peluang kepada usahawan  untuk mengadakan jualan semasa musim sambutan Aidilfitri yang mendapat permintaan tinggi  dari kalangan pengunjung dan para pengguna juga boleh mendapatkan barangan keperluan  perayaan Aidilfitri di outlet fizikal dengan penjimatan pembelian terus dari pengeluar.  

Selain barangan segar seperti daging, ayam dan sayur-sayuran, pengguna juga berpeluang  untuk mendapatkan bekalan juadah Aidilfitri seperti ketupat, rendang, lemang dan kuih-kuih untuk  keperluan Hari Raya Aidilfitri yang turut dijual di semua outlet pemasaran ini. 

Dr Ronald berkata, MAFI melalui FAMA akan memastikan bekalan di setiap lokasi ini mencukupi  dan para pengguna tidak perlu berasa khuatir untuk mendapatkan keperluan. 

“MAFI memberi jaminan bekalan daging, ayam, sayur-sayuran dan kelapa mencukupi untuk  sambutan Aidilfitri dan pengguna tidak akan menghadapi masalah mendapatkan barang  keperluan itu memandangkan persediaan awal memastikan kelangsungan bekalan sentiasa  dibuat oleh Jabatan dan Agensi di bawah MAFI,” jelas beliau.  

Dengan pengoperasian 797 outlet pemasaran ini melalui Program Jualan Semarak Syawal pada  kali ini, seramai 15,391 orang usahawan akan mendapat manfaat melalui penyediaan ruang ruang jualan dan program promosi khas Syawal.  

Menurut Dr Ronald, nilai jualan di outlet pemasaran yang disediakan ini disasarkan akan  mencecah sehingga RM25 juta manakala nilai jualan MNS dijangka akan mencapai sebanyak  RM1 juta sepanjang jualan semarak syawal iaitu 24 April 2022 hingga 2 Mei 2022.

Untuk rekod, MNS adalah projek usahasama antara FAMA dengan pihak Kerajaan Negeri  Sarawak melalui Kementerian Perumahan Sarawak. Projek ini menyediakan sebuah pasar yang  berkonsep moden, bersih, teratur dan lengkap dengan sistem pengurusan sisa buangan yang  terkini yang dibina bertujuan menggantikan Pasar Satok di lokasi Jalan Satok yang makin usang  dan tidak lagi sesuai berikutan masalah saliran, persekitaran yang kotor dan kesesakan lalu lintas. 

Projek ini telah menyediakan 995 lot bagi semua komponen utama dengan jumlah peserta  seramai 947 orang merangkumi Blok Kekal, Pasar Minggu, Pasar Borong dan Benteng Satok. Ianya beroperasi setiap hari dan beroperasi sepanjang tahun 2021 dengan mencatat nilai jualan  sebanyak RM48 juta. 

Kerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri akan berterusan bagi memastikan MNS akan terus  memainkan peranan yang penting dalam pemasaran produk agromakanan di Sarawak. 

MAFI akan terus bekerjasama dengan Kementerian dan Agensi penguatkuasa yang lain bukan  sahaja bagi memastikan bekalan mencukupi, malah harga yang dijual berpatutan. Setiap  usahawan di outlet pemasaran FAMA hendaklah mematuhi Skim Harga Maksimum Musim  Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2022 yang telah dikeluarkan oleh pihak Kementerian  Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). 

FAMA juga akan memastikan pematuhan SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian  Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengekang penularan  COVID-19.  

Program Jualan Semarak Syawal juga akan diadakan pada 30 April 2022 di Pasar Tani Datin  Halimah, Johor Baharu yang dijangka akan mendapat kunjungan lebih 2,000 orang termasuk  warga Singapura bagi mendapatkan barangan keperluan Aidilfitri. Program ini dilihat sebagai  salah satu kaedah bagi merancakkan kembali ekonomi domestik dengan peningkatan  permintaan pengguna.  

Selaras dengan peralihan negara ke fasa endemik dan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19, FAMA juga menggalakkan para pengguna untuk mendapatkan barangan keperluan  Aidilfitri di portal Agrobazaar Online (ABO). Terdapat lebih 390 Stock Keeping Unit (SKU) di ABO  untuk memenuhi keperluan sambutan perayaan Aidilfitri rakyat Malaysia dengan penyertaan  seramai 104 usahawan yang akan memberi penjimatan sehingga 16% bagi pembelian barangan  kombo Agromas. 

FAMA menyasarkan nilai jualan sebanyak RM2.9 juta di sepanjang program Jualan Semarak  Syawal melalui portal ABO. Para pengguna boleh membuat pra pesanan di portal Agrobazaar  Online dan mengambil pesanan yang yang telah ditempah di 31 lokasi pickup point seluruh  negara. Untuk makluman lanjut, boleh layari portal Agrobazaar Online atau  www.agrobazaar.com.my.  

Pada majlis sama, Dr Ronald juga turut menyampaikan sumbangan MAFI Prihatin kepada 50  orang golongan asnaf dan mengagihkan bubur lambuk kepada para pengunjung. Pihak Agrobank  turut bersama menghulurkan sumbangan berupa zakat manakala Persatuan Nelayan Negeri  Sarawak (PANESA) menyumbang 500kg beras. Jualan happy hour bagi komoditi telur ayam dan  biskut raya serta promosi jualan di portal ABO juga telah diadakan.  

Turut hadir ke program ini, YB Encik Maclaine @ Martin Ben, Timbalan Menteri Pemodenan  Pertanian Dan Pembangunan Wilayah (Pembangunan Wilayah) Sarawak, YBhg. Dato’ Haslina  Binti Abdul Hamid, Ketua Setiausaha MAFI dan YBhg. Dato’ Zainal Abidin Bin Yang Razalli, Ketua  Pengarah FAMA. 

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.