Siakap Keli
Foto: FB Rashidee

Berbaju Raya Dengan Adik-adik Tanda Kenangan, Ayah Redha Jika Anak Hidap Kanser Otak ‘Diambil’ Allah Sebelum Raya

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Zuriat adalah anugerah terindah buat dua hati yang mendirikan rumah tangga. Sedari dalam perut lagi, baik ibu mahupun ayah sudah mula memberikan segala-galanya buat cahaya hati, supaya apabila tiba masanya menjadi penghuni Bumi, si anak lahir dengan sihat walafiat dan bahagia sehingga ke hujung nyawa.

Begitupun, ujian itu rahsia Allah dan tiada sesiapa pun mampu menduga, hatta diri sendiri yang bakal diuji. Apa yang tinggal dalam diri saat ujian itu menjengah, hanyalah doa dan pengharapan tertinggi kepada yang Maha Esa. Moga-moga diringankan bebanan dan diberi kekuatan menghadapi liku-liku kehidupan.

Bagitulah juga kisah tentang anak kecil yang bernama Kakak ini dikongsikan oleh ayahnya, Rashidee Abdul Rashid menerusi laman Facebook miliknya. Ketika membaca hantaran daripada lelaki yang bergelar ayah ini, secara jujurnya SK tak dapat menahan sebak melihat keadaan puteri sulung keluarga ini dalam keadaan lemah.

Hampir setahun adik Raudhatus Solehah yang baru berusia 8 tahun ini bertarung nyawa melawan penyakit kanser otak. Berat ujian anak kecil ini. Tetapi hari ini, dia berpeluang untuk bergambar dengan adik-adiknya dengan memakai baju raya bersama-sama.

“Hari ini kakak dipakaikan Baju Raya. Jika ditakdirkan kakak Diambil Allah sebelum Raya sekurangnya ada gambar bersama adik-adiknya.” – Ayah

Sungguh pilu melihat keadaan terkini Raudhatus yang lebih mesra dipanggil Kakak.

“Mohon Doa dari kenalan agar urusan Kakak dipermudahkan. Doakan kami juga sebagai ibu bapanya kuat dan tabah dengan dugaan yang kami harungi.”

4 hari mengadu pening dan muntah

Simptom awal yang dirasai Kakak adalah sakit kepala muntah-muntah. Perkara ini berlaku sekitar bulan Januari 2021.

Menurut Sabariah Ismail, anaknya mengadu sakit kepala dan muntah-muntah namun masih aktif bermain dengan adik-adiknya. Masuk hari ke-5, anaknya kelihatan penat sehinggakan terpaksa dipapah untuk berjalan.

“Kakak tak cakap sakit, cuma pening tapi Kakak tetap bermain dengan Kak Ngah dan Raufah. Sungguh kuat Kakak melawan sakit masa tu. Allahuakbar,” kata ibunya.

Setelah beberapa hari mengadu sakit, wanita ini mengambil keputusan untuk anaknya mendapatkan rawatan di hospital namun ketika itu kebanyakan hospital sedang ‘bertarung’ dengan Covid-19. Jadinya agak terhad untuk mereka mendapatkan rawatan.

Doktor diagnos Kakak dapat Kanser Medulloblastoma (Kanser Otak)

Doktor meminta untuk melakukan CT Scan kerana pada luarannya anak kecil ini kelihatan sihat sahaja. Tetapi dia sangat lemah dan terpaksa memasang tiup kencing kerana terlalu lemah.

“Petang, doktor datang round bilik, doktor bagitahu keputusan CT Scan. Masa doktor terangkan Mama hanya dengar dan angguk sahaja. Tiada persoalan yang terlintas nak bertanya pada doktor.

”Sejurus doktor selesai terangkan tentang penyakit Kakak, masa ini Mama terus kucup lama dahi Kakak, rasa mulut terkunci tak boleh nak berkata apa-apa. Sungguh Mama tak kuat saat ini.”

Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan wanita yang bergelar ibu itu untuk menerima segala dugaan dan ujian yang diberikan oleh Sang Pencipta. Begitu berat sekali ujian yang dihadapi anak kecil yang baru berusia 8 tahun ini.

Menurut ibunya, pada Februari tahun lepas, anaknya sudah menjalani pembedahan membuang 80 peratus ketumbuhan tersebut yang mengambil masa hampir 12 jam di dewan pembedahan.

Hari ini keadaan Kakak semakin lemah

”Keadaan kakak agak lemah harini, kakak hanya boleh angguk atau geleng sahaja tanpa suara. Kakak tidak boleh minum dengan sempurna seperti air tersangkut di kerongkong,” jelas ayah dalam keadaan pilu.

Alhamdulillah kami dikurniakan kejiranan yang sering membantu kami dan bersedia jika berlaku sesuatu musibah dan ujian.

“Sebaik-baik teman di sisi Allah adalah seseorang yang terbaik terhadap temannya. Manakala sebaik-baik jiran di sisi Allah adalah seorang yang paling baik dengan jirannya. [Riwayat al-Tirmizi]

Ya Allah. Engkau jadikanlah kanak-kanak perempuan ini sebagai penolong kepada kedua ibu bapanya dan sebagai harta pertaruhan bagi keduanya. Dan jadikanlah dia sebagai peringatan dan iktibar dan pemohon syafaat bagi kedua ibu bapanya. Dan beratkanlah timbangan amal kedua ibu bapanya dan kurniakan kesabaran di dada kedua ibubapanya. Dan janganlah dia menjadi fitnah selepas kematiannya dan janganlah Engkau hampakan keduanya dari mendapat pahala di atas kematiannya.

Sumber: Sabariyah Ismail, Rashidee Abd Rashid

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.