Siakap Keli
ebit lew menangis jumpa anak punk
Gambar: Facebook Ebit Lew

Ebit Lew Menangis Jumpa Anak Punk Jalanan Di Jakarta, “Di Sebalik Tatu Mereka Ada Air Mata..”

Pendakwah terkenal, Ebit Lew menangis jumpa anak punk jalanan di Jakarta, Indonesia baru-baru ini dan frasa ringkas yang terbit di bibirnya berbunyi, “Di sebalik tatu mereka ada air mata..”

Setiap orang mempunyai kisah hidup yang berbeza. Ada yang hidup dalam penuh kesenangan, namun ada pula yang hidup dengan suasana sebaliknya, malah jauh lagi untuk kelihatan sempurna.

Bagaimanapun tidak dinafikan, kebanyakan insan yang hidup dalam kemiskinan biasanya mempunyai hati budi dan nurani yang baik. Mereka tahu mereka tidak ada segalanya. Justeru, memiliki hati yang baik adalah kesempurnaan tertinggi.

Menyentuh soal kemiskinan, apabila kita menerjah ke belantara konkrit yang dipenuhi pencakar langit, sebenarnya di sebalik dinding besi itu tersingkap 1001 kehidupan manusia di jalanan yang pelbagai suasana, sejarah dan ‘darahnya’.

Apabila fokus kepada radius pandangan yang lebih besar, kita akan dapat melihat bahawa golongan jalanan tersebut yang cukup kritikal dalam mendepani hari-hari mereka ialah anak-anak kecil dan remaja.

Tidak mustahil, mereka menjadi ‘sebegitu’ bukanlah atas dasar kehendak, namun ia adalah satu keterpaksaan yang dipaksa daripada ancaman dunia sekeliling yang menghentak akal. Terdesak untuk buat apa saja demi hidup.

Namun jangan disangka perjalanan mereka kekal sebegitu. Sebenarnya mereka juga berhak untuk berubah, mencipta masa depan yang lebih baik demi kesempurnaan hidup. Lebih-lebih lagi apabila berkaitan dengan pegangan agama.

Inilah seperti yang ditemui pendakwah terkenal, Ebit Lew di satu lokasi jalanan di kota metropolitan Jakarta, Indonesia baru-baru ini. Beliau berpeluang menziarahi golongan ini, selain turut melakukan kerja dakwah seperti kebiasaannya.

Untuk mengetahui lebih lanjut, mari ikuti coretan perkongsian Ebit menerusi satu titipan di laman Facebook miliknya seperti di bawah. Semoga kisah ini menjentik hati kita semua untuk tidak memandang enteng terhadap golongan ini.

Ebit Lew Menangis Bersama Anak Punk Jalanan 

Gambar: Facebook Ebit Lew

Menangis bersama anak Punk jalanan di Jakarta. Lembut hati dan sopan anak-anak muda ini. Hensem dan cantik semuanya.

Tak tahu bila lihat anak ini dijalanan dan melalui hidup ujian mereka. Disebalik tatoo mereka ada kisah air mata. Belanja anak Punk buka puasa kemudian shopping Baju Hari Raya.

Kemudian ajak check in hotel semuanya. 9 bilik untuk mereka. Kami solat dan tazkirah bersama. Saya suap makan dan peluk mereka beberapa kali. Teringat pelukan mak ayah.

Ramai yang menangis walau lain bunyi bahasa saya dengan mereka. Ulang kali saya kata Allah sayang abang kakak adik adik semua. Ingat tu sentiasa.

Ada bila ditanya kenapa menangis. Kami dah lama tak rasa begini. Terima kasih ustaz melayan kami dan berkongsi begini dengan kami. Rindu rasanya teramat pada ibu ayah.

Gambar: Facebook Ebit Lew

Dengar kisah ada yang ibu bapa bercerai semenjak kecil. Ada yang tidak pernah jumpa ibubapa. Ada yang semenjak 10 tahun di jalanan. Ada yang kehilangan ibu.

Ayahnya tidak mahu berjumpa lagi. Ada yang ibu tak nak jumpa lagi kerana sudah ada suami lain. Tak nak orang tahu itu anaknya. Siapa sangka kan di sebalik wajah garang mereka ini ialah ujian hidup.

Sebak sedih masa solat. Senang je semua menangis. Dengan saya tak tahan menangis. Meraung menangis. Mereka semua nak solat dan nak dekat pada Allah dan ibubapa.

Saya aturkan supaya sebahagian mereka dapat keluar Tabligh. Berada di jalan Allah. Semoga anak muda yang baik ini semua dijaga Allah. Berjuta rahmat yang Kau beri buat mereka berilah sedikit buat diriku.

Terima kasih adik-adik yang membuat hati ini tersentak dan supaya lebih bersyukur. Jika ada pahala untuk semua ini ya Allah, aku hadiahkan buat mak ayah yang di sana.

Gambar: Facebook Ebit Lew
Gambar: Facebook Ebit Lew
Gambar: Facebook Ebit Lew

Untuk lebih banyak gambar boleh lihat terus di laman Facebook Ebit Lew.

Sumber: Facebook Ebit Lew

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"