Siakap Keli

Ebit Lew Bangunkan Rumah Transit, Khas Buat Anak-anak Pesakit Kanser Yang Berulang-Alik Ke HKL & Sekitarnya

Pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew hari ini berkongsi tentang pembukaan sebuah rumah transit di Titiwangsa, Kuala Lumpur yang bernaung di bawah Persatuan Kasih Umat Malaysia.

Dalam satu perkongsian di Facebook, Rumah Kasih Umat itu berfungsi sebagai rumah transit bagi anak-anak pesakit kanser yang berulang-alik mendapatkan rawatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan sekitarnya.

“Masa ayah saya sakit kanser. Saya terdengar ayah saya menjerit sakit. Kadang morphin dan ubat tidur tak hilangkan sakit. Saya beberapa kali ziarah rumah kanser.

“Anak-anak kecil berlari sana sini sakit. Ramai yang kadang tidur dalam kereta atau sana sini sementara datang nak tunggu rawatan,” katanya dalam perkongsian tersebut.

Dalam pada itu, Ebit memanjatkan rasa syukur kerana usaha mewujudkan rumah transit sebegini telah banyak dijalankan ramai pihak, sama ada secara persendirian mahupun di bawah agensi kerajaan.

“Ini semua usaha kecil kita nak jadi sabahagian kecil dari usaha kerajaan dan orang ramai. Terima kasih semua yang selama ini bersama usaha ini. Allah Maha Penyayang.

“Semoga setiap anak kanser yang tiada dosa ini menjadi asbab kasih sayang Allah pada kita. Ya Allah jika ada pahala semua ini saya hadiahkan buat mak ayah saya. Semoga Allah letak mak ayah kita dalam syurga Firdaus,” tambahnya.

Menurut Ebit, penginapan di Rumah Kasih Umat ini adalah percuma tanpa sebarang caj. Bagi yang memerlukan, mereka boleh hubungi pihak rumah transit tersebut melalui talian 011-70772380.

Sumber: Ebit Lew

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'