Sebagai umat Islam, kita wajib mencari makanan daripada sumber yang diyakini halal, bersih dan baik.
Justeru, Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kebiasaannya menjadi rujukan bahawa produk atau sesebuah premis makanan itu diyakini halal.
Mudah cari kedai makan halal
Bercakap mengenainya, baru-baru ini tular di Threads mengenai satu aplikasi baharu yang memudahkan orang ramai untuk mencari tempat makanan halal di negara ini.
Aplikasi carimakanhalal itu menyediakan peta interaktif yang memaparkan lokasi premis makanan yang memiliki SPHM, sekali gus memudahkan pengguna mencari pilihan makanan halal di kawasan sekitar mereka.
Ia boleh diakses secara percuma oleh orang ramai tanpa perlu melakukan sebarang pendaftaran.
“Saya buat carimakanhalal.com, peta semua kedai makan yang ada sijil halal JAKIM. Buka je, terus nampak kedai certified sekeliling anda. Tak perlu lagi taip nama kedai satu-satu,” katanya di Threads.
Dibangunkan oleh Firdaus Puzi pada Ogos, CariMakanHalal mula boleh diakses oleh orang ramai sejak hujung Oktober lalu.

Menurutnya, setiap premis yang dipaparkan di laman itu memiliki pensijilan Halal JAKIM yang sah dan aktif.
“Ketiadaan sesebuah premis di dalam peta ini tidak bermakna premis tersebut haram.
“Ia hanya menunjukkan premis berkenaan belum memiliki pengesahan rasmi JAKIM.
“Berpandukan panduan Mufti Wilayah Persekutuan, makan di premis tanpa sijil adalah harus sekiranya tiada sebab munasabah untuk ragu-ragu dan sebaiknya dielakkan sekiranya timbul rasa was-was,” katanya di laman web tersebut.
Dalam pada itu, senarai premis dikemas kini secara berkala dan bukan secara masa nyata (real-time).

