Seorang lelaki berbangsa Cina dikenali sebagai Kevin Khoo berhasrat mencari seorang pemuda Melayu yang membantunya ketika kereta dipandunya terkandas akibat banjir di sebuah kampung berhampiran Ijok, Selangor.
Menerusi perkongsian di Threads, @khoo_kevin, dia mahu bertemu sendiri dengan pemuda berkenaan bagi menyampaikan ucapan terima kasih atas pertolongan yang diberikan.
Malah, Kevin turut berhasrat untuk membelanja pemuda itu makan sebagai tanda penghargaan kerana sanggup mengambil risiko meredah air banjir bagi memastikan laluan selamat sebelum membenarkannya meneruskan perjalanan.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika dia dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Jeram untuk menghadiri majlis perjumpaan semula bersama rakan rakannya selepas hampir 30 tahun tidak bertemu.
Bagaimanapun, hujan lebat menyebabkan aplikasi navigasi yang digunakannya membawa dia melalui kawasan Ijok sebelum tiba di sebuah kampung yang akhirnya dilanda kenaikan air.
Menceritakan detik cemas itu, Kevin berkata, keadaan di kawasan berkenaan agak sunyi dengan kiri dan kanan jalan dipenuhi pokok kelapa sawit sebelum air mula naik secara tiba tiba.
“Saya tersesat di sebuah kampung yang mana kiri dan kanan saya hanya kelapa sawit. Keadaan sunyi dan tiba tiba air naik. Sangat menyeramkan.
“Selepas itu, seorang abang Melayu muncul, kemudian satu kampung turut keluar. Seorang abang yang saya tidak kenal itu tidak membenarkan saya meredah banjir, sebaliknya dia sendiri mahu masuk dahulu untuk mengukur kedalaman air.
“Selepas dia memberitahu keadaan selamat, barulah dia memberi isyarat supaya saya boleh meneruskan perjalanan. Bukan dia seorang sahaja, malah penduduk satu kampung turut datang membantu orang asing yang terkandas,” katanya.
Hasil bantuan pemuda berkenaan bersama penduduk kampung, Kevin akhirnya berjaya meneruskan perjalanan dan tiba di lokasi majlis perjumpaan semula bersama rakan rakannya.
Bagaimanapun, pengalaman menerima bantuan itu meninggalkan kesan mendalam sehingga dia berhasrat untuk mencari semula individu yang membantunya.
“Tetapi, hati saya tertinggal di kampung itu. Saya mahu mencari abang ini dan mengucapkan terima kasih.
“Kalau awak kenal abang ini atau awak sendiri orangnya, tolong tandakan akaunnya atau hantar mesej kepadanya. Biar saya belanja makan dan ceritakan kepada dunia bahawa orang baik hati masih wujud di kampung kita,” katanya.
Perkongsian tersebut turut mengundang reaksi pengguna Threads yang tersentuh dengan tindakan pemuda berkenaan serta penduduk kampung yang tampil membantu tanpa mengira latar belakang individu yang memerlukan pertolongan.
Meninjau ruangan komen, seorang pengguna, @khuzaifah9030, memaklumkan bahawa dia sudah menerima maklumat mengenai individu yang dimaksudkan.
“Ada ni hadir. Kawan dah tolong maklumkan kepada saya,” komennya.
Sementara itu, @syafiquezainuddin menyifatkan tindakan pemuda berkenaan sebagai gambaran sikap suka membantu yang masih diamalkan masyarakat.
“Abang itu benar benar orang Melayu. Adab membantu memang kuat dalam diri dia,” katanya.
Seorang lagi pengguna, @aerynisme, turut memuji sikap penduduk kampung yang tidak teragak agak menghulurkan bantuan kepada orang luar.
“Macam itulah orang Melayu kampung. Adab dan sifat ihsan untuk menolong orang masih tinggi. Terbaik, tuan. Semoga berjumpa dengan abang itu dan belanja dia makan,” selorohnya.
Dalam pada itu, @bellaazdd mengakui tersentuh membaca perkongsian berkenaan kerana mengingatkannya bahawa kebaikan yang dilakukan kepada orang lain boleh dibalas melalui pertolongan yang tidak disangka sangka.
“Kenapa saya pula sebak membaca ini. Apabila kita sentiasa mempermudahkan urusan orang lain, sampai satu masa kita akan mendapat pertolongan yang tidak disangka sangka,” katanya.
Manakala, @arifaizat19 turut meluahkan rasa terharu melihat tindakan penduduk kampung yang bersama sama membantu lelaki berkenaan.
“Siapa potong bawang ini? Terharu satu kampung tolong,” katanya.

