Pernahkah anda melihat tasik yang membeku sehingga membentuk permukaan ais yang rata dan licin, manakala sungai pula dipenuhi ketulan ais yang berselerak serta bergerak mengikut arus?
Walaupun kedua duanya terdiri daripada air dan berada dalam keadaan cuaca sejuk yang sama, proses pembekuan tasik dan sungai sebenarnya berlaku dengan cara berbeza.
Perbezaan ini bukan semata mata disebabkan suhu, sebaliknya berkait rapat dengan satu faktor utama iaitu pergerakan air.
Air tasik yang tenang membolehkan proses pembekuan berlaku secara lebih teratur, manakala arus sungai yang sentiasa bergerak menyebabkan air bercampur dan menyukarkan pembentukan lapisan ais yang sekata.

Pergerakan Air Jadi Faktor Utama
Perbezaan paling ketara antara tasik dan sungai terletak pada keadaan airnya.
Tasik lazimnya mempunyai air yang lebih tenang. Keadaan ini membolehkan air membentuk lapisan yang stabil sebelum permukaannya menjadi semakin sejuk dan akhirnya membeku.
Sebaliknya, air sungai sentiasa mengalir dan mengalami pergerakan yang menyebabkan lapisan air bercampur secara berterusan.
Keadaan ini menjadikan proses pembekuan lebih sukar kerana air yang bergerak perlu mengalami penyejukan yang lebih menyeluruh sebelum ais dapat terbentuk.
Malah, sesebuah sungai yang mengalir deras masih boleh kekal mengalir walaupun suhu udara berada di bawah takat beku selama beberapa hari.

Bagaimana Tasik Membeku Dari Permukaan?
Proses pembekuan tasik berlaku secara berperingkat, bermula dari bahagian permukaan sebelum merebak ke kawasan sekitarnya.
Keadaan ini berkait dengan sifat unik air yang mencapai ketumpatan paling tinggi pada suhu kira kira 4 darjah Celsius.
Apabila suhu air tasik menurun, air yang lebih sejuk dan kurang tumpat akan berada di bahagian atas, manakala air yang lebih tumpat akan turun ke dasar tasik.
Apabila permukaan air mencapai suhu sekitar 0 darjah Celsius, lapisan ais mula terbentuk dan merebak sehingga menghasilkan permukaan yang lebih sekata.
Dalam keadaan tersebut, air di bahagian lebih dalam lazimnya kekal pada suhu sekitar 4 darjah Celsius.
Sebab itulah tasik jarang membeku sepenuhnya sehingga ke dasar. Lapisan ais di permukaan juga bertindak sebagai penebat yang membantu mengekalkan suhu air di bawahnya.
Keadaan ini membolehkan ikan dan hidupan akuatik lain terus hidup di bahagian bawah tasik sepanjang musim sejuk.
Mengapa Sungai Membeku Dengan Cara Berbeza?
Berbeza dengan tasik, arus sungai menyebabkan air sentiasa bercampur dari permukaan hingga ke dasar.
Pergolakan air ini menghalang pembentukan lapisan yang tenang seperti yang berlaku di tasik.
Oleh sebab itu, keseluruhan ruang air sungai perlu mengalami penyejukan sehingga hampir mencapai takat beku sebelum pembentukan ais dapat berlaku.
Dalam keadaan tertentu, air sungai yang bergerak juga boleh mengalami fenomena yang dikenali sebagai supercooling atau penyejukan lampau.
Fenomena ini berlaku apabila air menjadi lebih sejuk daripada takat bekunya tetapi masih berada dalam keadaan cecair.
Tanpa permukaan air yang tenang untuk membentuk lapisan ais secara sekata, sungai menghasilkan beberapa bentuk ais yang berbeza daripada tasik.
Frazil, Anchor Ice Dan Timbunan Ais
Antara bentuk ais yang boleh ditemui di sungai ialah frazil ice, iaitu hablur ais kecil yang terbentuk di dalam air yang mengalami penyejukan lampau.
Hablur tersebut boleh kelihatan seperti campuran air dan ais yang menyerupai minuman ais kisar.
Sebahagian hablur ais pula boleh mendap dan melekat pada batu atau dasar sungai sehingga membentuk anchor ice, iaitu ais yang melekat di bahagian bawah sungai.
Selain itu, ais juga boleh terbentuk di kawasan tebing sungai yang lebih cetek dan mempunyai aliran air lebih perlahan. Fenomena ini dikenali sebagai shore ice.
Dalam masa sama, ketulan ais yang bergerak mengikut arus boleh berkumpul sehingga membentuk kepingan bulat yang dikenali sebagai pancake ice.
Apabila kepingan dan ketulan ais berkumpul serta tersekat antara satu sama lain, keadaan itu boleh menghasilkan ice jam atau timbunan ais yang menghalang aliran sungai.
Fenomena tersebut boleh menyebabkan paras air meningkat dan mencetuskan banjir, khususnya ketika proses pencairan ais pada musim bunga.
Mengapa Perbezaan Ini Penting?
Perbezaan proses pembekuan tasik dan sungai turut memberi kesan kepada tahap keselamatan manusia.
Tasik yang membeku lazimnya membentuk lapisan ais yang lebih sekata dan boleh menjadi cukup tebal untuk aktiviti seperti berjalan kaki, meluncur ais atau memandu dalam keadaan tertentu.
Namun, keadaan ais di sungai jauh lebih sukar dijangka kerana ketebalannya tidak sekata dan terdapat kawasan nipis akibat pergerakan arus di bawah permukaan.
Malah, sesetengah sungai tidak membeku sepenuhnya walaupun ketika musim sejuk.
Sungai yang kelihatan membeku juga boleh mengalami pergerakan ais secara tiba tiba sehingga menyebabkan kepingan ais pecah atau berkumpul dan menyekat aliran air.
Justeru, permukaan ais di sungai tidak boleh dianggap selamat hanya kerana kelihatan keras atau membeku.
Kesimpulannya, tasik dan sungai mungkin terdiri daripada air yang sama serta mengalami suhu persekitaran yang serupa, namun pergerakan air menjadikan proses pembekuan kedua duanya berbeza.
Tasik yang tenang lebih mudah membentuk lapisan ais yang rata, manakala arus sungai menghasilkan keadaan ais yang lebih tidak menentu dan sukar diramal.

