GUA MUSANG, 22 Nov (Bernama) -- Laluan ke Cameron Highlands masih boleh digunakan meskipun dua daripada empat lorong di laluan FT185 Jalan Lojing-Gua Musang ditutup susulan kejadian tanah runtuh semalam.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan Nik Badlihisham Nik Ismail berkata pengguna jalan raya masih boleh meneruskan perjalanan melalui lencongan yang disediakan.
Beliau berkata penutupan itu hanya melibatkan dua lorong di bahagian kiri jalan berkembar berkenaan, manakala laluan alternatif membolehkan pergerakan trafik diteruskan.
“JKR akan memohon peruntukan bagi melaksanakan kerja pembaikan di kawasan terjejas dalam masa terdekat. Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi papan tanda amaran yang dipasang, terutama ketika melalui kawasan lencongan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Nik Badlihisham turut menasihati pengguna supaya memandu perlahan dan meningkatkan kewaspadaan ketika melalui kawasan itu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Semalam, JKR memaklumkan lorong kiri di Seksyen 84.15, Laluan Persekutuan FT185 Jalan Lojing-Gua Musang, berhampiran Yayasan Albarakah, menghala ke Cameron Highlands ditutup kepada semua kenderaan berikutan kejadian tanah runtuh.
Kejadian itu melibatkan kawasan sepanjang 20 meter dengan kedalaman 30 meter manakala hasil pemeriksaan turut menemukan rekahan pada permukaan jalan sepanjang 30 meter.

