BEIJING – Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China (NHC) melaporkan telah mengesan kes pertama jangkitan selsema burung H3N8 melibatkan manusia pada seorang kanak-kanak berusia 4 tahun di wilayah Henan, 5 April lalu.
Memetik BNO News, kanak-kanak tersebut mengalami demam dan beberapa gejala lain sebelum dimasukkan ke hospital pada 10 April apabila keadaannya semakin teruk.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China telah menjalankan ujian kepada pesakit tersebut dan mendapati kanak-kanak tersebut positif virus berkenaan.
Laporan yang sama juga turut mendedahkan bahawa kanak-kanak tersebut pernah bersentuhan dengan ayam dan burung gagak yang diternak di rumahnya di Zhumadian kira-kira 245 kilometer daripada wilayah Wuhan.
Penilaian awal pakar memaklumkan bahawa virus selsema burung H3N8 ini belum mempunyai keupayaan untuk menjangkiti manusia. Ia merupakan kes penularan rentas spesis burung ke manusia dan risiko untuk penularan virus ini adalah berskala rendah.
Setakat ini, kontak rapat kanak-kanak tersebut diuji negatif untuk virus tersebut. Bagaimana pun, Suruhanjaya Kesihatan menggesa orang ramai untuk mengelakkan sentuhan dengan ayam terutamanya ayam yang sakit dan telah mati.
Sumber: BNO News, The Straits Times