Siakap Keli

Mengejar Lailatul Qadr, Lebih 250 Ribu Rakyat Palestin Penuhi Masjid Aqsa Untuk Solat Tarawih

Lebih 250,000 jemaah warga Palestin dilapor mengimarahkan Masjid Al-Aqsa bagi menunaikan solat Tarawih pada malam ke-27 Ramadan.

Menurut laporan Jabatan Wakaf, jemaah ini berkumpul menunaikan solat sunat Tarawih di masjid berkenaan menjelang malam-malam akhir Ramadan selain berharap dipertemukan dengan Lailatul Qadr.

Orang ramai mula berkumpul bermula dari petang lagi dengan ada keluarga dilapor hadir lebih awal serta memilih untuk tidur dan bersahur di kawasan perkarangan masjid bagi mengelak daripada tidak mendapat tempat untuk mengejarkan solat di sana.

“Pasukan keselamatan, pasukan perubatan dan sukarelawan telah disediakan di kawasan tersebut bagi memudahkan urusan keluar masuk para jemaah untuk menunaikan solat di masjid Al-Aqsa itu. Jalan-jalan masuk dan keluar turut ditetapkan untuk membezakan laluan jemaah lelaki dan wanita di kawasan masjid berkenaan,” jelasnya lagi.

Memetik Ma’an News, Imam besar masjid tersebut ketika mengakhiri Solat Tarawih dengan Solat Witir turut berdoa agar Allah melindungi seluruh warga Palestin daripada tipu daya selain memelihara kesejahteraan masjid ketiga tersuci umat Islam itu.

Selepas selesai Solat tarawih dan Witir, para jemaah memulakan perarakan dari ruang solat ke kawasan dataran berdekatan masjid dengan memegang bendera Palestin sambil melaungkan kalimah syahadah ‘Tiada Tuhan Selain Allah.’

Terdahulu ketika umat Islam baru menyambut Ramadan, polis Israel dilapor menyerbu masjid berkenaan ketika umat Islam mahu menunaikan Solat Subuh dan menanti waktu Solat Jumaat. Insiden berkenaan menyaksikan ratusan jemaah dilapor cedera dan terpaksa dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.

Sumber: Minanews. Maannews, Palestine News Agency

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang