Siakap Keli
myfundaction uitm

MyFundAction Meriahkan Ramadan Terakhir Mahasiswa UiTM Cawangan Selangor

Puncak Alam, Selangor, 26 April 2022 – Berikutan 10 Ramadan terakhir yang akan menjelang tiba tidak lama lagi, YOSHMyFundAction Cawangan Selangor telah meneruskan usaha untuk menyantuni masyarakat dengan menjayakan Majlis Quranic Hour & Special Iftar For Ummah (SIFU) dengan kerjasama UiTM Cawangan Selangor pada 21 April yang lalu.

Pegawai Eksekutif Kewangan MyFundAction, Puan Umi Fathin Atia berkata, objektif kerjasama majlis tersebut di antara MyFundAction dan pihak UiTM Cawangan Selangor adalah untuk bersama memperkasakan jalinan ukhuwah dalam bulan Ramadan yang mulia ini.

Untuk makluman, antara aktiviti yang dilakukan di dalam majlis tersebut adalah aktiviti tadarus Al-Quran yang dipimpin oleh 30 orang sukarelawan YOSHMyFundAction. Aktiviti seperti ini dapat meraih objektif seperti yang disebutkan di samping dapat bersama-sama menghabiskan 30 juzuk Al-Quran.

“Antara objektif pihak kami adalah untuk melahirkan mahasiswa yang bukan setakat cemerlang di dalam pengajian, malah cemerlang di akhirat”, ujar Prof. Madya Dr. Badrul Isa, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTMka beliau memberikan ucapan di dalam majlis tersebut.

Dalam pada itu, seorang mahasiswi UiTM Puncak Alam, Syahidah Binti Mohamad Zakaria berkata, dengan adanya majlis sedemikian, beliau merasa lebih bersemangat untuk meningkatkan ibadah di hari-hari terakhir Ramadan seterusnya kekal konsisten dalam melakukan ibadah tersebut setelah tamatnya Ramadan kali ini. Pelajar yang berumur 22 tahun itu juga menyatakan rasa syukurnya kerana dikurniakan kesempatan untuk membaca Al-Quran beramai-ramai setelah sekian lama.

Tidak ketinggalan, Pengarah Majlis Quranic Hour & Special Iftar For Ummah (SIFU), Muhamad Shukri Bin Saad berkata, pihak MyFundAction juga telah mengedarkan 300 pek juadah berbuka puasa atau lebih dikenali sebagai pek Special Iftar For Ummah (SIFU) kepada 300 orang pelajar UiTM yang hadir pada majlis tersebut.

Sehubungan dengan itu, YOSHMyFundAction sekali lagi dengan kerjasama UiTM Cawangan Selangor telah menganjurkan Program Rewang Bubur Lambuk Perdana di UiTM Puncak Alam pada hari ini. Program yang turut diserikan dengan kehadiran YBhg Profesor Dr. Ahmad Sazali Hamzah, Rektor UiTM Cawangan Selangor telah berjaya mengedarkan sebanyak 13,000 pek bubur lambuk kepada masyarakat sekitar UiTM Puncak Perdana dan UiTM Sungai Buloh.

Muhammad Azri Mohmad Nazari, Ketua Unit Kesukarelawanan Kampus UiTM Cawangan Selangor MyFundAction menzahirkan rasa syukur atas kejayaan mengedarkan 13,000 pek bubur lambuk serta menyantuni para pelajar UiTM Cawangan Selangor sempena bulan Ramadan ini. Inisiatif murni ini juga turut melibatkan penyertaan Pertubuhan Pemimpin Sukarelawan Malaysia (YOSH).

Sementara itu, YBhg Profesor Dr. Ahmad Sazali Hamzah, Rektor UiTM Cawangan Selangor berkata, “pihak kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan MyFundAction. Secara jelas, program ini memberi impak dua hala yang amat besar antara rakan kolaborasi. Program seumpama ini bukan sahaja membolehkan kami mendekati dan berkongsi rezeki dengan menyantuni warga UiTM, malah ia merupakan sebuah platform berkesan bagi membina pelbagai jaringan tanggungjawab sosial korporat bersama.”

Majlis yang dianjurkan ini merupakan salah satu aktiviti yang diadakan sempena kempen Special Iftar For Ummah (SIFU) yang menjadi salah satu program tahunan MyFundAction di bulan Ramadan. Secara ringkasnya, SIFU merupakan salah satu inisiatif yang dilakukan oleh MyFundAction dalam usaha untuk memberikan juadah berbuka puasa kepada beberapa golongan yang memerlukan termasuk pelajar, barisan petugas hadapan dan juga masyarakat sekitar.

Semoga usaha yang dilakukan ini dapat memberikan senyuman kepada mahasiswa-mahasiswi UiTM Cawangan Selangor dan dapat meningkatkan semangat mereka untuk terus meningkatkan ibadah di bulan yang mulia ini.

myfundaction uitm
Barisan tetamu kehormat Majlis Quranic Hour & Special Iftar For Ummah (SIFU) termasuk Prof. Madya Sr Dr Rosmadi Ghazali, Timbalan Rektor iCARE UiTM Cawangan Selangor; Prof. Madya Dr. Badrul Isa, Timbalan Rektor HEP UiTM Cawangan Selangor; Puan Umi Fathin Atia, Pegawai Eksekutif Kewangan MyFundAction dan Prof. Ts. Dr. Asmah Awal, Timbalan Rektor Penyelidikan dan Inovasi UiTM Cawangan Selangor
Sesi tadarus Al-Quran secara berkumpulan bersama pelajar UiTM Cawangan Selangor

myfundaction uitm
Pelajar UiTM Cawangan Selangor sedang menjamu juadah berbuka puasa Special Iftar For Ummah (SIFU)

myfundaction uitm
Sesi memasak bubur lambuk bersama-sama sukarelawan YOSHMyFundAction dan UiTM Cawangan Selangor

Amira

Love yourself.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.