Arab Saudi dan kebanyakan negara Arab lain dilaporkan akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Isnin ini, lapor agensi Anadolu.
Dalam satu kenyataan, Istana Arab Saudi berkata bahawa anak bulan Syawal, yang menandakan bulan ke-10 dalam kalendar Islam tidak kelihatan pada Sabtu (30 April).
“Oleh itu, Ahad (1 Mei) adalah hari terakhir Ramadan dan Aidilfitri pada Isnin (2 Mei),” lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan tersebut.
Pihak berkuasa agama di Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait, Bahrain dan Yaman juga turut mengumumkan Aidilfitri jatuh pada hari Isnin.
Selain daripada itu, antara negara lain yang menyambut Aidilfitri pada tarikh sama adalah Mesir, Sudan, Libya, Lebanon, Syria dan Palestin.
Umat Islam Sunni di Iraq juga turut dilaporkan akan menyambut Aidilfitri pada Isnin.
Sementara itu, kumpulan Syiah di Oman, Jordan dan Iraq akan melihat anak bulan Syawal pada hari Ahad bagi menentukan tarikh sambutan Aidilfitri.
Sumber: US Muslims