Seorang lelaki telah ditahan selepas bertindak mengambil dan membaling batu nisan di dua masjid dan tiga tanah perkuburan Islam di kawasan Sungai Kob, Kulim, lapor AWANI.
Menurut AWANI, suspek tersebut sanggup berbuat demikian kerana mendakwa mendengar bisikan suara ghaib yang menyuruhnya untuk melakukan perbuatan itu sejak setahun lepas.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, lelaki berusia 30-an itu ditahan di Taman Mutiara pada Selasa hasil operasi dan risikan yang dijalankan.
Hasil pemeriksaan mendapati suspek terlibat dalam lima kes khianat yang berlaku di dua buah masjid dan tiga kawasan perkuburan Islam di sekitar Sungai Kob, Kulim.
“Kejadian mula berlaku pada bulan Oktober 2021 dan beberapa lagi siri kejadian selepas itu sehinggalah pada kejadian yang terbaru adalah pada Mei 2022.
“Punca kejadian adalah dari pengaruh dadah dan tangkapan mengatakan mendengar ‘bisikan’ mendesak melakukan perbuatan khianat tersebut,” kata Mohd Redzuan, memetik AWANI.
Dalam pada itu, suspek juga yang tidak bekerja didapati memiliki enam rekod dadah serta tiga rekod jenayah.
Dalam masa sama, suspek juga turut positif dadah jenis methamphetamine berdasarkan ujian air kencing yang dijalankan.
Difahamkan, pihak polis turut merampas dadah jenis heroin ketika penahanan suspek tersebut.
Sehubungan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 39 A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1) akta sama.
Tambah beliau, suspek kini direman sehingga 10 Mei ini bagi membantu siasatan kejadian terbabit.
Sumber: Awani