Siakap Keli
meninggal terhantuk batu nisan
Gambar: Berita Jatim & News Detik

Ajal Ziarah Pusara Isteri, Warga Emas Maut Terhantuk Pada Batu Nisan

Seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia di atas kubur isterinya selepas terjatuh dan terhantuk pada batu nisan ketika melawat kubur sang isteri, lapor Detik News.

Memetik laporan Detik News, lelaki berusia 51 tahun itu ditemukan meninggal dunia oleh penduduk sekitar semalam di sebuah tapak perkuburan di daerah Gampengrejo, Kediri. Jawa Timur, Indonesia.

Menurut Ketua Polis Gampengrejo, AKP Sunaryo, mangsa sedang menziarahi pusara isterinya yang baharu saja meninggal dunia bersama seorang cucu yang masih kecil sebelum insiden itu terjadi.

Setibanya lelaki tersebut di tapak pemakaman, dia melihat kubur sang isteri agak berlubang seakan-akan mendap ke tanah dan berinisiatif ingin menimbus kembali lubang berkenaan.

Namun malangnya, lelaki itu dilaporkan terjatuh lalu kepalanya terhantuk pada batu nisan yang ditanda di atas kubur isterinya.

“Jadi ketika mangsa melihat kubur isterinya mendap, mangsa cuba menimbus kembali kubur sang isteri dalam keadaan mencangkung, namun tiba-tiba mangsa terjatuh dan kepalanya terhantuk pada batu nisan isterinya,” kata Sunaryo.

Lapor Detik News, hentakan tersebut telah mengakibatkan mangsa tidak sedarkan diri. Cucu lelaki berkenaan yang menangis melihat keadaan datuknya telah memancing perhatian warga sekitar.

Penduduk setempat kemudiannya datang untuk membantu mangsa, namun lelaki tersebut dikatakan telah meninggal dunia selepas terhantuk pada batu nisan isterinya.

Tambah Sunaryo, memetik laporan Berita Jatim, pihaknya walaubagaimanapun tidak menemukan tanda-tanda penganiayaan pada jasad mangsa.

“Tidak ditemukan adanya kes penganiayaan di tubuh mangsa. Dari keterangan keluarganya, mangsa ini mempunyai riwayat penyakit,” jelas Sunaryo.

Sumber: Detik News, Berita Jatim

Eyla Azri