Siakap Keli
Gambar via Marilyn Parker

Pelajar Gempar Temui ‘Bangkai Jerung’ Tergantung Di Sekolah

Sekumpulan pelajar di sebuah sekolah di Florida, United State (US) gempar setelah menemui seekor jerung mati tergantung di bahagian bumbung laluan sekolah mereka, lapor Newsweek.

Menurut laporan, jerung tersebut ditemui di Sekolah Tinggi Ponte Vedra di Pantai Ponte Vedra pada jam 7 pagi, 5 Mei baru-baru ini oleh pengurus penyelenggaraan dan sudah dialihkan pada 8 pagi hari sama.

Memetik Newsweek, insiden gempar itu disiasat oleh Pejabat Syerif Daerah St. Johns, Suruhanjaya Pemuliharaan Ikan dan Hidupan Liar Florida serta pegawai daerah.

Jurucakap daerah, Christina H.Upchurch berkata, terdapat lima pelajar yang terlibat dalam kejadian tersebut tetapi masih tidak mempunyai bukti lanjut yang berkaitan setakat ini.

Selain itu, disebabkan kemunculannya yang begitu menggemparkan ramai pihak, ia turut mendapat liputan oleh agensi-agensi media tempatan.

Difahamkan, sebuah gambar telah dikongsikan oleh wartawan WJTX, Marilyn Parker yang menunjukkan jerung itu tergantung pada tali di atas tangga di sekolah.

Menurut laporan, salah seorang profesor biologi berpendapat, spesies tersebut mungkin daripada jerung pasir – walaupun ia mungkin sukar untuk ditentukan dengan hanya sekeping gambar.

“Spesies ini lebih gemar berada di kawasan berpasir dan luar daripada pesisir di Teluk Florida (dan) Pantai Atlantik.

“Ia merupakan antara spesies yang dilindungi kerana populasinya yang semakin berkurang,” jelasnya, lapor First Coast News menerusi Newsweek.

Bagi mengenal pasti spesies jerung tersebut, gambar itu telah dikirimkan kepada ahli biologi perikanan laut FWCC untuk siasatan lanjut.

Rupa-rupanya hanya prank

Walau bagaimanapun, terdapat seorang pelajar yang dirahsiakan identitinya berkata bahawa jerung yang digantung itu rupa-rupanya hanyalah sekadar ‘prank’  dari sekumpulan pelajar senior.

Dalam pada itu, Upchucrch juga berkata, ‘prank’ yang dilakukan oleh sekumpulan pelajar senior itu juga turut berlaku di kawasan-kawasan lain berdekatan dengan sekolah itu.

“Ia bukan sahaja berlaku di sekolah ini, malah turut terjadi di kawasan-kawasan berdekatan menjelang hujung tahun sesi persekolahan. Ini adalah antara aktiviti-aktiviti yang lazim dilakukan oleh mereka.

“Mungkin ia terlalu awal untuk mengatakan perbuatan itu dari mereka, tetapi itu adalah aktiviti yang lazim dilakukan menjelang hujung tahun sebelum sesi persekolahan tamat,” katanya, lapor Newsweek.

Malah laporan Newsweek juga menyatakan, maskot yang diguna pakai di sekolah tinggi itu adalah berupa seekor jerung.

Sumber: Newsweek, First Coast News, Marilyn Parker

Faiz Mustafa

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.