Pelakon dan pengacara tanah air, Mira Filzah atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman selamat timang cahaya mata pertama di salah sebuah pusat perubatan pada jam 3.40 pagi tadi.
Berita gembira itu dikongsikan sendiri suami kepada pelakon cantik itu, Wan Emir Wan Astar Mohammad Khair-il Anuar menerusi akaun Instagram miliknya.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik itu, Emir berkata, “Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT Pencipta sekalian alam, serta selawat ke atas junjungan mulia Baginda Nabi Muhammad SAW.
“Isteri syurgaku Nur Amirah Filzah binti Badioezaman telah selamat melahirkan putera sulung kami pada tarikh sama seperti ibunya iaitu pada tarikh 9 Syawal, bersamaan 10 haribulan 5 tahun 2022 pada jam 3.40pagi.” tulis Emir.
Jelas Emir lagi, “Putera kami yang bergema nyaring tangisannya berada dalam keadaan sihat, di samping ibunya yang juga dalam keadaan sihat wal’afiat.”
Dia mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua atas doa dan harapan yang telah dicurahkan ke atas perjalanan keluarganya itu dan berharap segala kebaikan berbalik kepada pendoa.
“Semoga Allah SWT merahmati & membimbing kita semua dalam perjalanan peribadi kita melalui kehidupan yang sementara ini, aamin YRA.” tulisnya lagi.
Untuk pengetahuan, Emir, 31, dan Mira Filzah 29, selamat membina mahligai pada 3 September 2020 di sebuah pusat konvokesyen di Bukit Kiara.
View this post on Instagram
Sumber: Instagram wanemirastar